2023-07-16

【马来文/Penulisan】 Pembelajaran Maya: Sejauh Mana Kita Bersedia?

Pembelajaran Maya: Sejauh Mana Kita Bersedia?

Pada marcapada yang canggih dengan sains dan teknologi ini, program Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bukan sahaja dijalankan secara bersemuka tetapi juga secara maya. Teknologi yang semakin moden membolehkan para mahasiswa mengakseskan internet untuk menjalankan pembelajaran dengan menggunakan gajet teknologi. Mahasiswa juga dapat mencari maklumat dan rujukan secara lebih lanjut dan kesemua bahan rujukan sangat senang diperolehi daripada internet untuk tujuan pelajaran. Tambahan pula, pembelajaran maya dapat mengelakkan sebarang halangan yang melambatkan program PdP di Malaysia. Sebagai contoh, umum mengetahui bahawa pandemik Covid-19 memberi impak yang negatif kepada program PdP sehingga ia tidak dapat dijalankan dengan lancar. Sementara itu, program PdP secara bersemuka terpaksa menukarkan kepada pembelajaran maya. Jadi, apakah yang akan didatangkan oleh pembelajaran maya? 


Pertama sekali, pembelajaran maya dapat menyebabkan para mahasiswa menjadi lebih fleksibel dari segi masa dan tempat. Mahasiswa dapat membuat perancangan untuk menjalankan proses pelajarannya di mana-mana tempat pada masa yang ditetapkan. Mereka mampu bercadang masanya sama ada  pembelajaran secara serentak ataupun tidak serentak. Dengan penggunaan internet, mahasiswa boleh memilih persekitaran yang selesa dan berfleksibel untuk belajar sama ada di bilik tidur, kafe, dan mana-mana sahaja yang sesuai untuk belajar. Hal ini dapat mengurangkan masa seseorang mahasiswa yang berada di luar kampus untuk menghadiri kelas tergesa-gesa. Seterusnya, pensyarah-pensyarah boleh muat naikkan bahan pembelajaran di platform seperti e-learning yang diperkenalkan oleh Universiti Sains Malaysia kepada mahasiswa yang ingin berulang kaji. Bukan itu sahaja, pelajar yang tidak sempat untuk menghadiri kelas ataupun pelajar yang berada di luar negara yang menghadapi masalah jet lag dapat terus belajar pada masa lapang mereka. Tambahan pula, pembelajaran maya membolehkan mahasiswa memutar balik audio dan video yang telah diberi oleh pensyarah untuk berulang kaji lagi. Hal ini dapat mewujudkan banyak mahasiswa dari luar negara untuk mendaftar kursus yang ditawarkan oleh universiti-universiti di Malaysia. 


Pendidikan maya dapat menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar dengan cepat dan mudah. Pada zaman yang maju dalam bidang teknologi maklumat ini, setiap orang bersaing untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kejayaan masing-masing. Kita boleh belajar ilmu-ilmu yang tidak pernah diajar oleh guru-guru di sekolah melalui Internet. Tidak salah sekiranya pelajar ingin menambahkan ilmu pengetahuan untuk diri sendiri. Pendidikan maya melalui internet membolehkan kita mencari ilmu pengetahuan daripada pelbagai sumber kerana semua maklumat atau jawapan berada di hujung jari sahaja. Sebagai contoh, kita boleh menggunakan Google untuk mendapatkan sumber yang ingin didapati. Dengan inisiatif lain kita juga boleh mendapatkan ilmu pengetahuan alam maya di perpustakaan. Pihak perpustakaan menyediakan kemudahan perpustakaan seperti Internet dan komputer. Pendidikan secara maya memberikan kebaikan kepada semua masyarakat terutamaya kepada pelajar universiti kerana dapat menyampaikan ilmu pengetahuan dengan cepat dan mudah.


Selain daripada ilmu pengetahuan dapat disampaikan dengan lebih cepat dan mudah, pembelajaran maya juga membantu para mahasiswa untuk menjimatkan kos perbelanjaan dalam kehidupan mereka. Mahasiswa tidak perlu membuat bayaran atas penginapan, kemudahan universiti dan sebagainya. Hal ini dikatakan demikian kerana segala urusan pembelajaran akan dilakukan secara dalam talian di rumah sendiri. Tamsilnya, pelajar Universiti Sains Malaysia yang terpaksa belajar di rumah masing-masing atas talian akibat pandemik Covid-19 telah dipulangkan kos penginapan sebanyak RM600 yakni sejumlah wang yang cukup besar. Pada masa yang sama, mahasiswa dapat menjimatkan kos tinggi yang tidak diperlukan seperti kos pengangkutan kerana para pelajar dapat melanjutkan pelajaran di rumah sendiri sahaja. Dengan ini, jelaslah bahawa pembelajaran maya mampu meringankan beban keluarga para mahasiswa terutamanya golongan B40 dalam tempoh pandemik Covid-19 yang menyusahkan seantero warganegara Malaysia. Tegasnya, dengan adanya pendidikan maya, para mahasiswa dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan. 


Walaupun pembelajaran maya memang membawa banyak manfaat kepada para pensyarah dan mahasiswa, tetapi kita tidak dapat menafikan bahawa pada masa yang sama pembelajaran maya juga membawa keburukan kepada para pensyarah dan mahasiswa. Salah satu keburukannya ialah pembelajaran maya menyumbangkan masalah stres dan kemurungan dalam kalangan mahasiswa. Hal ini adalah disebabkan oleh ketidakkenalan antara rakan kursus yang perlu menyiapkan tugasan bersama tetapi tidak pernah berjumpa walaupun satu kali dengan satu sama lain secara bersemuka. Selain itu, para mahasiswa juga menghadapi cabaran apabila sambungan WiFi tidak stabil sehingga pelajar tidak mampu mendengar ajaran pensyarah dengan lancar. Bukan sahaja mahasiswa yang menghadapi isu kemurungan tetapi juga pensyarah. Hal ini dikatakan demikian kerana pensyarah diminta mempelajari kemahiran yang baharu iaitu mengajar secara atas talian melalui aplikasi yang tidak pernah digunakan sebelum ini seperti Zoom, Webex dan Google Meet. Tambahan pula, disiplin mahasiswa susah untuk dipantau oleh para pensyarah secara atas talian. Misalnya, pelajar yang lewat hantar tugasan ataupun tidak hadir ke kelas lazimnya menggunakan alasan ketidakstabilan internet. Kita boleh lihat pada kes yang berlaku pada 25 November 2020 apabila seorang guru menunggu pelajarnya untuk masuk kelas atas talian selama sejam tetapi langsung tidak ada walaupun seorang pelajar yang sudi menghadiri kelasnya. Dengan isu-isu sebegini yang berlaku di negara kita selepas kelas diadakan secara atas talian, adakah kita bersedia untuk menangani masalah stress dan kemurungan dalam kalangan pelajar dan juga pendidik?



Negara kita belum bersedia dengan pembelajaran maya dengan sepenuhnya disebabkan kekangan dalam capaian Internet. Masalah kesusahan dalam capaian Internet akan menyebabkan berlakunya jurang pengetahuan yang lebih tinggi berbanding dengan keadaan yang sedia ada sebelum ini. Cuba kita fikirkan, adakah rakyat Malaysia dapat melayari internet walaupun mereka berada di kawasan pedalaman? Kita sedia maklum bahawa pembelajaran maya merupakan salah satu pilihan untuk belajar ilmu baru sebelum ini. Namun, negara kita sedang mengalami wabak penyakit Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembelajaran maya sudah menjadi pilihan yang paling berkesan dalam pembelajaran. Untuk melancarkan pembelajaran maya, seseorang pelajar sekurang-kurangnya perlu memiliki gajet teknologi seperti komputer ataupun telefon pintar yang boleh mengakseskan Internet. Segala kemudahan tersebut memerlukan perbelanjaan yang agak besar sehingga memberatkan beban golongan masyarakat yang berpendapatan rendah. Rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar tidak berkemampuan untuk menampung perbelanjaan tersebut dan anaknya terpaksa tertinggal dalam proses PdP atas talian. Keadaan ini akan meningkatkan jurang pengetahuan di antara golongan yang berpendapatan tinggi dengan golongan yang berpendapatan rendah. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan berpendapatan tinggi tidak menghadapi masalah dalam penyediaan segala gajet teknologi tersebut untuk pembelajaran maya. Justeru, pembelajaran maya tidak sesuai untuk diimplementasikan secara sepenuhnya di negara kita kerana keadaan ini akan memberikan impak yang negatif dari segi kestabilan politik sekiranya isu ini tidak diberikan perhatian yang secukupnya.


Akhirulkalam, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah mengubah corak kehidupan seorang pelajar sama ada pembelajaran dijalankan secara bersemuka ataupun secara talian. Pembelajaran maya membolehkan para pelajar untuk meluaskan pemikiran, meningkatkan ilmu pengetahuan, dan kemahiran serta kelayakan akademik. Kejayaan perkembangan teknologi bergantung pada pembangunan masyarakat di sesebuah negara. Semua pihak mesti berganding bahu bagai aur dengan tebing bersedia untuk membangunkan sistem pendidikan talian di Malaysia supaya ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ berbanding dengan negara lain.

 

没有评论:

发表评论