2021-02-04

【马来文小说】USM 大众传播系优秀作业展示丨Cerpen - Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957


作者丨Liang
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan seperjuangan saya di USM, Tracy, Zu dan Ekka atas kesudian menyumbangkan karya cerpen mereka sebagai bahan pembelajaran sini. Untuk makluman pembaca, cerpen tersebut merupakan salah satu tugasan Pengajian Media USM untuk pelajar Tahun 1. Berikutnya ialah tiga buah karya yang terpilih sebagai tugasan cemerlang dan lagi yang terakhir adalah milik saya Diharap cerpen-cerpen semua dapat memberikan inspirasi kepada pembaca. 😍

博主首先想感谢 Tracy、Zu 及 Ekka 愿意将各自的小说作品与各位分享。这些小说是 USM 大众传播系大一生的课程作业之一,小说的开头2段与结尾为题目,其余都是按学生的创意而作。大家可以多参考前面三篇,都是院校老师择优赞赏的作品,他们真的写得很好 😃 当然我也尝试写了一篇 😎 希望这些小说能让读者们迸发灵感,写出更好的故事!


Tajuk: Kemerdekaan 31 Ogos 1957, titik tolak bersemi cinta kita

Penulis: Tracy Layau Anak William Dambol (USM)

“Gembira bukan kepalang. Tiada kata dapat diungkapkan untuk menggambarkan apa yang dirasai ketika ini. Bukan aku saja, tapi semua. Aku rasa mereka yang cintakan tanah bertuah ini turut berkongsi rasa yang sama.

Tiga jam sebelum kejadian. Aku yakni Balqis, anak perempuan tunggal kepada Puan Tijah dan Encik Seman sedang bersiap untuk menghadiri satu acara penting bersama dengan ayah dan ibu sekejap lagi.

Sebentar tadi aku terjaga daripada tidur berikutan ayam-ayam peliharaan ayah di belakang rumah berkokok tidak henti-henti umpama tiada hari esok. Aku bingkas bangun dengan penuh semangat waja yang bergelora di hati kerana hari ini bersamaan dengan 20 Februari 1956 adalah hari penting kata ayah semalam.

“Sreet!” Aku selak daun pintu bilik perlahan-lahan. Di ruang tamu kelihatan ayah dan ibu sudah bersiap lebih awal untuk menghadiri satu acara penting hari ini. “Selamat pagi ibu dan ayah,” kata aku kepada dua insan yang amat berharga bagi diri ini.

Usai mandi, aku belek satu persatu setiap baju kurung yang ibu telah jahit untuk anak kesayangannya ini. Pada barisan terakhir baju kurung tersebut, tangan kanan aku seakan-akan ditarik untuk menggapai baju kurung berwarna merah jambu yang diperhiasi dengan sulaman bunga-bunga kecil. Baju kurung tersebut adalah pemberian daripada ibu untuk hari ulang tahun kelahiran diri ini ke-20 beberapa bulan lalu.

40 minit selepas itu, kami bertiga mula meninggalkan perkarangan rumah dengan menaiki kereta yang serba uzur kepunyaan ayah secara perlahan-lahan. Perjalanan yang mengambil tempoh masa beberapa jam itu membuatkan kaki aku terasa kejang dan sakit-sakit badan.

Setelah beberapa jam perjalanan, kami sekeluarga akhirnya tiba juga di perkarangan Padang Pahlawan, Bandar Hilir Melaka. Kaki aku terasa amat lenguh seakan-akan hendak patah tetapi hati ini kuat sekuat batu untuk gagahkan diri supaya tetap bersemangat tinggi umpama tingginya awan biru nun di atas sana.

Aku terkesima sambil menggetap bibir apabila melihat ribuan manusia tanpa mengira peringkat umur di perkarangan padang tersebut. Aku jangkakan waktu itu terdapat lebih daripada 50 000 orang penduduk Tanah Melayu membanjiri kota Melaka pada hari bersejarah itu.

Seketika kemudian baru aku mengerti inilah acara penting yang ayah maksudkan semalam. Hari bermakna ini bukan untuk aku seorang tetapi untuk semua rakyat Tanah Melayu pada waktu itu.

Aku tatap dengan renungan penuh kasih ke arah wajah ibu dan ayah satu-persatu. Daripada raut wajah mereka serta rupa paras ribuan manusia yang disekeliling diri ini, nun jauh di benak hati terasa amat sayu melihat wajah-wajah tersebut kerana sudah begitu lama mendahagakan kebebasan daripada pihak penjajah.

“Dup! Dap! Dup! Dap! Dup! Dap!” Jantung aku berdetak dengan kencang seakan-akan ingin pecah. Jari-jemari aku terasa basah berikutan peluh yang menyusur perlahan-lahan meniti liang bulu-bulu roma tangan akibat daripada bahang pancaran sang suria yang begitu bersemangat sekali memancarkan cahayanya itu.

Dengan penuh sabar aku dan kedua orang tuaku serta ribuan lagi penduduk Tanah Melayu waktu itu menunggu dan terus menunggu akan kepulangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj serta rombongan kemerdekaannya dari London. Rombongan ini terdiri daripada empat wakil Raja-Raja Melayu iaitu Dato’ Panglima Bukit Gantang, Abdul Aziz Othman, Dato’ Mohd Seth dan Dato Nik Ahmad Kamil.

Seterusnya, empat lagi wakil daripada Parti Perikatan iaitu terdiri daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sendiri, Dato’ Dr Ismail, Tun H. S. Lee dan Tun Abdul Razak Hussein. Hati ini terasa amat runsing memikirkan sama ada beliau dan rombongannya akan membawa satu perkhabaran yang baik buat semua rakyat Tanah Melayu atau berita yang mendukacitakan.

Beberapa jam kemudian, kelihatan semua orang masih menunggu dengan semangat yang berkobar-kobar termasuk aku serta ayah dan ibu. Tiada seorang pun daripada puluhan ribu manusia yang ada di perkarangan padang tersebut berganjak daripada tempat masing-masing.

Setelah itu, daripada jauh kelihatan orang ramai bersorak dengan gempak-gempita. Aku tercari-cari daripada mana punca sorakan yang begitu nyaring dan membingitkan telinga itu.

“Mereka sudah balik!” Jerit seorang lelaki muda yang setapak jaraknya daripada aku. Mata aku terbeliak dan jantung terasa ingin tercabut dek kerana terkejut tatkala mendengar jeritan yang nyaring itu. Hati ini ingin sekali bertanya apakah yang dia maksudkan itu tetapi langkah kaki diri ini seakan-akan mati apabila dia memandang tepat ke arah mata kepunyaan sekujur tubuh yang serba tidak sempurna ini.

Aku mematikan terus pandangan kepadanya serta-merta. Namun demikian, seketika tadi diri ini dapat menggamit pandangan matanya kepada aku langsung tidak berkedip.

“Ah! Aku ini terlampau suka berangan,” desis hatiku berkata sendiri. Tidak lama kemudian, aku dapat melihat sosok tubuh seseorang berdiri sambil mengangkat tangan di dalam kereta bersama beberapa sosok tubuh yang lain.

 Apabila kereta tersebut semakin menghampiri, aku dapati itulah insan-insan hebat yang kami tunggu-tunggu daripada terbitnya matahari sehingga hendak terbenamnya kembali sang mentari yang begitu setia memancar cahayanya ke dunia fana ini.

Aku melihat dengan jelas di hadapan mata kepalaku sendiri Tunku Abdul Rahman bersama dengan rombongan kemerdekaannya mengangkat tangan kanan mereka setinggi yang boleh sebagai tanda membawa pulang sebuah kejayaan yang begitu besar sambil menaiki kereta secara konvoi menuju ke pentas yang telah disediakan.

Di atas pentas bersejarah itu yang terletak tepat di sudut tengah perkarangan Padang Pahlawan, Bandar Hilir Melaka, aku dan kedua orang tuaku serta puluhan ribu rakyat Tanah Melayu mendengar dengan jelas pengisytiharaan kemerdekaan daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bahawa kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu secara rasmi pada 31 Ogos 1957.

Tatkala bait-bait perkataan kemerdekaan akan diberikan oleh pihak British meluncur laju daripada bibir Tunku Abdul Rahman, semua rakyat Tanah Melayu menjadi diam seribu bahasa seolah-olah bibir dijahit dengan rapat. Seketika kemudian seorang demi seorang menitiskan air mata penuh kesyukuran pada ketika itu. Aku juga tidak ketinggalan turut menangis apabila diri ini dapat merasakan butir-butir permata yang halus jatuh di pipi polos aku kerana terharu dengan perjuangan mendapatkan kemerdekaan oleh insan-insan hebat ini ternyata membuahkan hasil.

Aku memandang serta-merta ke arah ibu dan ayah, aku dapati raut wajah mereka sedikit sugul. Mata ayah dan ibu kelihatan sembab kerana menangis teresak-esak sambil berpelukan tanda kegembiraan tatkala mendengar pengisytiharaan tersebut.

Setelah itu, kedua orang tuaku memandang ke arah aku dengan mata yang berlinangan iaitu menandakan kegembiraan yang tidak terkata serta tidak terhingga.

“Balqis anakku mari ke sini,” kata ayah sambil mendepakan tangannya. Aku dengan perasaan hiba memeluk ayah dan ibu. Kami saling berpelukan pada ketika itu.

Kegembiraan yang kami sekeluarga rasakan pada tanggal 20 Februari 1956 itu turut dirasai oleh semua rakyat Tanah Melayu. Kami saling berkongsi satu rasa yang sama iaitu cinta akan tanah bertuah ini tanpa berbelah bahagi walau sekecil zarah sekalipun.

Petang itu adalah hari penuh kesyukuran buat semua penduduk di Tanah Melayu. Selepas itu, kami sekeluarga mula meninggalkan perkarangan padang tersebut setelah acara selesai.

Sekali lagi, sebelum pulang diri ini sempat menjeling sekilas ke arah seorang pemuda yang jaraknya dengan aku cuma beberapa tapak sahaja. Aku dapati dia membalas jelingan itu dengan mengukir satu senyuman yang amat menawan pada wajah tampannya itu.

Setelah pengisytiharaan kemerdekaan dilakukan seminggu yang lepas, aku dapat rasakan sesuatu yang positif. Baik kehidupan aku sekeluarga atau penduduk Tanah Melayu yang lain semuanya hidup dalam keadaan aman damai serta tenteram sekarang. Begitu juga, aktiviti ekonomi iaitu berdagang dan bercucuk tanam dapat berkembang secara perlahan-lahan dari hari ke hari.

Sebulan kemudian iaitu pada tanggal 21 Mac 1956, Suruhanjaya Reid yakni sebuah suruhanjaya bebas telah dibentuk. Suruhanjaya ini ditubuhkan kerana mempunyai peranannya yang tersendiri. Maka Suruhanjaya Reid ini diketuai oleh Sir Lord Reid iaitu hakim British dan dianggotai oleh beberapa ahli lain iaitu antaranya Sir Ivor Jennings, Sir William Mckell, Tuan B. Malik dan Tuan Abdul Hamid.

“Balqis anak ayah. Mari ke sini.” Dari dalam rumah aku mendengar ayah memanggil nama aku.

“Baik ayah, tunggu sekejap!’ Kata aku menjawab panggilan ayah. Dengan langkah seribu aku keluar daripada rumah dan berlari anak ke sebuah pondok kecil yang tepat sekali berada di bawah sepohon pokok yang rendang berhampiran rumah sederhana besar kepunyaan kedua orang tuaku.

“Balqis hendak tahu tak apa itu Suruhanjaya Reid dan apakah tujuan suruhanjaya ini telah dibentuk?” Tanya ayah kepada aku.

“Mestilah Balqis nak tahu. Kenapa ayah?” Kata aku bertanya semula dengan riak wajah kehairanan pada masa yang sama mempunyai sifat inkuiri yang tinggi.

“Suruhanjaya Reid ini telah dibentuk beberapa hari yang lalu. Tujuannya dibentuk adalah untuk membincang, merangka dan menyusun Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Begitu juga, Suruhanjaya Reid ini telah menerima sebanyak 131 memorandum daripada pelbagai pihak berkaitan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Memorandum ini termasuklah daripada Raja-Raja Melayu, orang perseorangan dan pertubuhan politik. Namun demikian, sebagai kerajaan, memorandum daripada Parti Perikatan pada 27 Julai 1955 menjadi pertimbangan utama suruhanjaya ini,” kata ayah menerangkan satu-persatu kepada aku dengan terperinci.

Seketika kemudian baru aku tersedar bahawa diri ini begitu ralit sekali mendengar perkongsian daripada ayah mengenai apa itu Suruhanjaya Reid.

“Balqis, hari sudah senja. Mari kita masuk ke dalam rumah.” Kata ayah mengajak aku masuk ke rumah bersama setelah matahari mula terbenam dan pancaran cahaya matahari tidak lagi kelihatan.

Lapan bulan kemudian, selepas Suruhanjaya Reid dibentuk, sekali lagi penduduk Tanah Melayu digemparkan dengan perkhabaran mengenai Tunku Abdul Rahman telah dicabar untuk menyelesaikan satu konflik yang telah berlaku iaitu melibatkan pihak komunis. Pada waktu itu, aku dapat melihat seluruh penduduk Tanah Melayu meletakkan tanggungjawab yang begitu besar serta sangat berat di bahu Tunku Abdul Rahman tetapi beliau seorang yang optimis dan professional di mana beliau bersetuju untuk bertemu secara empat mata bersama Chin Peng.

Jadi pada tanggal 28 Disember 1956, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Ketua Menteri telah bertindak untuk menyelesaikan isu pemberontakan komunis di Tanah Melayu. Beliau mengadakan Rundingan Baling bersama dengan Chin Peng iaitu Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) pada waktu itu.

Pertemuan secara bersemuka ini diadakan di Sekolah Inggeris, Baling Kedah. Tun Tan Cheng Lock dan David Marshall antara orang penting yang bersama dengan Tunku Abdul Rahman menghadiri pertemuan ini. Tetapi sayang seribu kali sayang, rundingan yang telah dibuat gagal mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak pada pertemuan hari pertama.

Tunku Abdul Rahman tidak berputus asa begitu sahaja. Beliau mempunyai azam serta tekad yang tinggi menggunung seperti tingginya gunung Everest untuk mengusir pihak komunis daripada Tanah Melayu dengan cara baik iaitu melalui rundingan bersama Chin Peng.

Keesokkan hari pula iaitu pada tanggal 29 Disember 1956, beliau mencuba sekali lagi untuk berunding sehabis baik dengan Chin Peng supaya pihak komunis mengundur diri dari Tanah Melayu tanpa adanya pertumpahan darah. Pertemuan hari kedua ini tetap menemui jalan buntu apabila Chin Peng masih berkeras serta berdegil kerana enggan menyerah diri, membubarkan Parti Komunis Malaya (PKM) dan meletakkan senjata mereka.

Kegagalan untuk menundukkan Chin Peng melalui rundingan tidak menghalang semangat waja Tunku Abdul Rahman untuk meneruskan usaha mendapatkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Kegagalan yang dirasai oleh beliau bahkan terus mendorong Tunku untuk memperhebatkan gerakan kerajaan menghapuskan kezaliman komunis dengan mempertingkat operasi oleh anggota keselamatan seperti polis dan pasukan tentera Tanah Melayu.

Selepas beberapa hari pertemuan bersejarah itu berlangsung, Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj terus berangkat ke London untuk meneruskan lagi rundingan kemerdekaan dengan pihak British. Jauh di dalam sudut hati aku serta seluruh penduduk Tanah Melayu, semua orang yakin kemerdekaan buat Tanah Melayu pasti akan dicapai tepat pada masanya nanti.

Jam demi jam dan hari berganti hari. Ternyata esok adalah tanggal 30 Ogos 1957. Penantian tanpa lelah selama ini yang aku dan kedua orang tuaku tunggu serta seluruh rakyat Tanah Melayu nanti-nantikan akhirnya tiba.

“Ayah! Ibu! Sudah bersediakah untuk hari esok?” Tanya aku kepada kedua orang tuaku dengan begitu bersemangat sekali pada waktu pagi sehari sebelum kejadian.

“Sudah tentu anakku.” Kata ayah sambil memandang ke arah ibu dengan tersenyum lebar.

            Malam 30 Ogos 1957. Jarum jam di dinding sudah tepat berada pada kedudukan 8.00 minit malam. Kami sekeluarga sudah bersiap untuk pergi ke Padang Kelab Selangor. Pada malam itu, aku berpakaian serba ringkas iaitu menggunakan baju kurung berwarna putih bersulamkan bunga-bunga kecil di keseluruhan baju kurungku itu.

            Perjalanan ke Padang Kelab Selangor mengambil masa dua jam. Ayah memandu kereta kesayangannya itu perlahan-lahan sahaja supaya kami sekeluarga selamat sampai di destinasi. Tepat jam 10.00 minit malam, akhirnya kami sekeluarga tiba di perkarangan Padang Kelab Selangor.

            Setelah itu, aku dan ibu terlopong seketika melihat puluhan ribu manusia sudah berada di Padang Kelab Selangor lebih awal. Pada masa yang sama, aku terkedu melihat kemeriahan dan kegembiraan yang terpancar di setiap raut wajah penduduk Tanah Melayu yang sudah tidak sabar lagi hendak menyaksikan acara penting pada malam itu.

            “Ayah, apa kata kita berdiri di sudut sebelah kanan sana?” Tanya aku kepada ayah serta-merta apabila aku ternampak ruang kosong yang berada tidak jauh daripada tiang bendera yang mengibar tinggi bendera Union Jack tersebut.

            Hampir dua jam telah berlalu kini detik 12.00 tengah malam hanya tinggal beberapa minit lagi. Aku dan keluargaku serta seluruh penduduk Tanah Melayu sudah bersedia dengan sepenuh jiwa dan raga untuk menyaksikan acara yang dinanti-nantikan selama ini akhirnya menjadi sebuah kenyataan.

“Tung! Tung! Tung!” Loceng jam sudah bergema menandakan tepat jam 12.00 tengah malam. Seluruh tumpuan penduduk Tanah Melayu pada ketika itu termasuk diri aku berfokus memandang ke arah bendera Union Jack yang diturunkan secara perlahan-lahan di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad.

Setelah itu, aku bersama kedua orang tuaku dan seluruh penduduk Tanah Melayu menyaksikan sendiri bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan secara perlahan-lahan dengan penuh kehormatan.

Tatkala bendera Persekutuan Tanah Melayu itu berkibar dengan gah naik ke atas, hati aku terasa sangat hiba. Akhirnya Tanah Melayu iaitu tanah bertuah yang amat aku cintai mencapai kemerdekaan dan bebas daripada sebarang bentuk penjajahan. Tidak terasa air mata diri ini jatuh bercucuran menyembah bumi pada ketika itu.

Kemudian aku memandang ke arah ibu dan ayah yang berada di sebelah. Aku tatap wajah mereka berdua dengan penuh sayu. Terukir senyuman lebar pada raut wajah ibu dan ayah sambil berlinangan air mata pada wajah masing-masing ketika memandang ke arah diri ini.

Kami bertiga kemudian berpelukan antara satu sama lain sebagai tanda kesyukuran. Pada masa yang sama, aku dapat melihat seluruh penduduk Tanah Melayu saling menangis dan mengucap syukur kepada Tuhan kerana perjuangan mendapatkan kemerdekaan selama ini akhirnya dapat direalisasikan.

Seketika kemudian, dalam puluhan ribu manusia yang berada di Padang Kelab Selangor itu, aku dapat menangkap raut wajah seseorang yang pernah aku lihat ketika berada di Padang Pahlawan Bandar Hilir, Melaka tempoh hari.

“Aku kenal dia. Dia lelaki berwajah tampan itu. Ternyata dia hadir pada malam ini.” Desis hatiku berkata sendiri.

Aku terus menghentikan pandangan kepadanya dengan serta-merta. Aku menampar manja pipi polos diri ini supaya kembali ke dunia nyata.

Seketika kemudian, aku beransur pulang ke rumah dengan kedua orang tuaku setelah acara pada malam itu tamat.

Pada malam penuh kesyukuran itu, niat aku tidur dengan semangat yang tinggi untuk menyambut hari bersejarah esok. Pada masa yang sama jauh di sudut hati ini terasa seakan-akan dunia ini milik aku seorang apabila mengingat kembali wajah tampan pemuda itu.

“Aku menangis sebaik bendera penjajah itu diturunkan di Padang Kelab Selangor malam tadi. Tangis penuh syukur, air mata kebebasan yang membawa tanda anak cucu aku akan dapat menentukan hala tuju hidup mereka sendiri di negara tercinta ini. Tidur aku tiada lenanya, makan pun tak lalu. Mengapa jarum jam ini lambat detaknya.” Desis hati aku berkata sendiri apabila mengingat kembali acara penting pada malam tadi yang membuatkan aku tidak keruan seperti cacing kepanasan sehingga ke pagi ini.

Tanggal 31 Ogos 1957 iaitu pada hari ini. Aku bangun awal di mana tepat jam 4.00 pagi.

Aku tidak dapat tidur lena semalam berikutan hati ini asyik memikirkan hari bersejarah yang akan disambut pada hari ini. Begitu juga, sarapan pagi yang ibu buat pada pagi ini langsung aku tidak jamah sedikitpun.

“Balqis kenapa tidak jamah sarapan yang ibu telah buat itu?” Tanya ibu penuh kehairanan kepada aku sebentar tadi.

“Balqis tidak lalu mahu bersarapan ibu. Balqis sudah tidak sabar lagi hendak menyambut Hari Kemerdekaan beberapa jam lagi!” kata aku dengan begitu bersemangat sekali seperti seorang kanak-kanak riang ketika menjawab soalan ibu tersebut.

Kami sekeluarga memakai pakaian yang sama warna pada hari ini. Aku dan ibu menggayakan baju kebaya berwarna putih yang disulami dengan beberapa bunga raya yang berwarna merah kemerahan di bahagian bawah baju kebaya manakala ayah pula memakai baju Melayu dan digandingkan dengan songkok berwarna hitam kesayangannya itu.

Kami bertolak ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur tepat jam 6.00 pagi. Perjalanan ke sana yang mengambil masa dua jam membuatkan hati aku berdebar-debar tidak henti tetapi penuh rasa syukur kerana beberapa jam lagi semua penduduk Tanah Melayu termasuk kami sekeluarga akan menyambut Hari Kemerdekaan buat julung kalinya dalam kehidupan.

Setelah dua jam perjalanan, akhirnya kami sekeluarga selamat sampai di destinasi yang hendak dituju. Suasana pada waktu pagi itu begitu meriah sekali dengan dibanjiri oleh pelbagai lapisan masyarakat Tanah Melayu yang sudah tidak sabar hendak menyambut hari bersejarah ini.

Semua rakyat Tanah Melayu pada ketika itu termasuk aku sekeluarga memenuhi ruang tempat duduk yang terdapat di Stadium Merdeka untuk meraikan Hari Kemerdekaan bersama-sama sebentar lagi. Aku sempat menghamparkan pandangan ke seluruh sudut stadium tersebut.

Pada waktu itu, aku dapat melihat puluhan ribu manusia sedang berbual dan bergelak tawa antara satu sama lain. Terukir senyuman lebar pada setiap wajah penduduk Tanah Melayu ketika itu.

Seketika kemudian, aku ternampak akan bayangan tubuh seseorang berjalan perlahan-lahan dari jauh semakin dekat ke arah tempat duduk aku dan kedua orang tuaku.

Beberapa saat selepas itu, seorang pemuda yang aku langsung tidak kenali itu berdiri terpacak di hadapan aku.

Aku terkedu seketika. Seorang pemuda yang aku maksudkan itu ternyata adalah lelaki yang sama diri ini pernah jumpa ketika di Padang Pahlawan Bandar Hilir, Melaka beberapa bulan lalu.

“Salam perkenalan. Aku Imran.” Katanya dengan suara yang sedikit garau dan matang daripada raut wajahnya ketika memperkenalkan dirinya kepada aku.

Aku terkesima dengan perbuatannya. Mahu tidak mahu aku turut memperkenalkan diri kepada dia.

“Nama aku Balqis.” Kata aku kepadanya dengan ringkas. Ayah dan ibu yang berada di sebelah hanya mampu tersenyum sumbing melihat gelagat lelaki tersebut yang datang tanpa diundang terus memperkenalkan dirinya kepada aku.

Seketika kemudian, Imran memandang pula ke arah ibu dan ayah. “Mak cik, pak cik bolehkah saya berkenalan dengan Balqis secara lebih mendalam?” Imran secara spontan bertanya sedemikian kepada ayah dah ibu.

Aku terpinga-pinga mendengar soalan yang diajukan oleh Imran. Seketika kemudian, ibu dan ayah tersenyum ke arah aku, kemudian mengalih pandangan kepada Imran dan mereka berdua menganggukkan kepala tanda memberi keizinan.

Aku yang berada di sebelah ibu pada waktu itu hanya mampu menundukkan kepala kerana bagi aku adalah sangat tidak sopan jika diri ini yang beria-ria menunjukkan muka gembira apabila diperlakukan sedemikian.

Tetapi nun jauh di sudut hati aku, diri ini sedang menari kegirangan di taman cinta kerana seorang insan yang aku suka ternyata menyimpan perasaan yang sama terhadap diri ini.

“Sebentar lagi pengisytiharaan Kemerdekaan akan diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Maka dengan itu semua rakyat Tanah Melayu dipinta untuk bersedia.” Kata pengacara majlis pada pagi itu.

Tatkala aku mendengar pengumuman tersebut, aku tersedar bahawa diri ini telah jauh memikirkan pemuda yang bernama Imran itu tadi.

Kemudian, aku, Imran dan kedua orang tuaku kembali fokus kepada acara bersejarah yang akan berlangsung sekejap sahaja lagi.

            Di atas pentas, aku dapat melihat Tunku Abdul Rahman sudah bersedia untuk mengisytiharkan kemerdekaan.

Jam di tangan tepat menunjukkan 8.00 pagi. Saat yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. “Akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang Merdeka dan yang berdaulat serta berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan yang mengekalkan keamanan di antara segala kalangan bangsa.”  Begitulah bait-bait perkataan yang diungkapkan oleh Tunku Abdul Rahman sebentar tadi.

“Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Itulah laungan keramat sebanyak tujuh kali yang dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman dan diikuti oleh semua penduduk Tanah Melayu pada ketika itu.

Aku juga turut melaungkan perkataan Merdeka bersama dengan kedua orang tuaku di sisi serta Imran sekali dengan air mata yang jernih mencucuri di pipi polosku ini. Begitu syahdu sekali laungan keramat kemerdekaan itu menerobos masuk ke telinga aku.

Terlihat dengan jelas sekali butir-butir halus air mata ibu dan ayah yang berada di sisi aku jatuh menyembah bumi bertuah ini. Begitu juga, aku melihat Imran mengelap air matanya dengan kain perca kepunyaannya. Tidak ketinggalan, diri ini turut menyaksikan setiap penduduk Tanah Melayu pada waktu itu menangis teresak-esak lalu bersorak kerana begitu gembira.

Kami sekeluarga berpelukan antara satu sama lain. Begitu juga, semua penduduk saling berpelukan dan mengucap syukur kepada Tuhan kerana akhirnya Tanah Melayu bebas untuk berkerajaan sendiri dan memerintah negara ini tanpa ada campur tangan daripada pihak luar.

Kebebasan Tanah Melayu pada hari bersejarah itu aku ibaratkan seperti seekor rama-rama yang baru keluar daripada kepompong dan akan mencorakkan kehidupannya sendiri mengikut akal secara rasional.

Seketika kemudian aku merasakan tubuh aku digoncang dengan sangat kuat. Aku tidak tahu siapakah gerangan yang berbuat sedemikian tetapi aku seperti mengenali orang itu.

“Nenek! Nenek! Kenapa nenek menangis?” Tanya Amirah si kecil molek iaitu cucu kesayangan aku. Aku dengar dengan jelas akan panggilan nenek itu tetapi mulut aku tidak berupaya untuk dibuka bagi menjawab soalan tersebut.

Seketika kemudian, aku membuka kedua-dua kelopak mata aku perlahan-lahan.

Aku bangkit daripada tidur lena yang aku jangka sangat panjang pada malam tadi tanpa aku sedari.

Aku memandang ke arah lengan baju aku dan ia nya basah lencun. Baru aku tersedar bahawa diri ini bermimpi akan kenangan lalu ketika aku masih muda dan kedua orang tuaku masih hidup.

Aku bangun perlahan-lahan daripada katil mengheret tubuh tua ini ke dapur untuk mencuci muka. Beberapa minit kemudian, aku melilaukan pandangan ke serata tempat di dalam rumah kerana hendak mencari cucu kesayangan aku tadi.

“Awak baru bangun?” Tanya suamiku kepada aku apabila melihat isterinya ini yang tidak pernah sekalipun bangun lambat tetapi hari ini menjadi sebaliknya.

Diri ini hanya mampu tersenyum sumbing apabila suamiku berkata sedemikian kerana peti fikiran aku masih lagi memikirkan mimpi yang aku alami sepanjang malam tadi.

“Cucu nenek. Mari duduk di sebelah nenek.” Kata aku memanggil cucuku Amirah yang sedang asyik menonton televisyen.

Amirah bingkas bangun lalu meluru ke arah aku. Tidak semena-mena dia bertanya soalan kepada aku.

“Nenek, nenek tahu tak hari ini hari apa?” Tanya Amirah kepada aku. Aku cuba untuk mengingati hari ini hari apa tetapi diri ini gagal untuk berbuat sedemikian.

 Aku dapati daya ingatan aku semakin kurang apabila usia semakin lanjut. Akhirnya, diri ini mengalah lalu menggeleng kepalaku supaya cucuku itu berterus-terang sahaja.

“Hari ini Hari Kemerdekaan nenek. Mari kita lihat sambutan Hari Merdeka dalam televisyen bersama-sama!” Kata Amirah dengan riang sekali mengajak aku menonton televisyen bersama dia.

Seketika kemudian, aku yang ditemani cucuku itu sangat asyik menonton Hari Kemerdekaan dalam televisyen pada pagi ini.

Tatkala aku mendengar laungan keramat Merdeka! Merdeka! Merdeka! dilaungkan, hati aku sekelip mata menjadi sayu semula.

Mimpi yang aku alami malam tadi menerjah kembali ke dalam minda aku. Masih segar lagi dalam ingatan diri ini bagaimana Tunku Abdul Rahman iaitu digelar Bapa Kemerdekaan pada masa kini bermatian-matian berjuang mendapatkan kemerdekaan demi sebuah negara iaitu Malaysia sekarang.

Pada masa itu jugalah, aku teringat semula akan bagaimana pertemuan demi pertemuan aku bersama suami sehinggalah pada tanggal 31 Ogos 1957, hari bersejarah buat Tanah Melayu pada ketika itu menjadi hari bersejarah juga buat kami berdua apabila dia menyatakan dirinya hendak mengenali aku dengan lebih dalam.

Bagi aku, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur menjadi tempat bersejarah Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajah yang durjana itu dan mencapai Hari Kemerdekaan buat julung kalinya. Begitu juga, tempat ini menjadi saksi cinta antara aku dan Imran berputik dan berkekalan sehinggalah ke hari ini.

Merdeka! Merdeka! Merdeka! kedengaran laungan keramat itu diulang semula di dalam televisyen.

“Dalam laungan gemersik suara cukup mendamaikan itu, kelopak mata ini tidak mampu lagi membendung air yang tumpah deras. Aku tenggelam dalam gema Merdeka! Merdeka! Merdeka!”



Melur


Ditulis oleh Siti Nurzulaikha binti Mohd Zaki (USM)

Gembira bukan kepalang. Tiada kata dapat diungkapkan untuk menggambarkan apa yang dirasai ketika ini. Bukan aku saja, tapi semua. Aku rasa mereka yang cintakan tanah bertuah ini turut berkongsi rasa yang sama.

Rata-rata semua yang berada di warung Pak Hamid mengucapkan rasa syukur apabila mendengar perkhabaran bahawa bendera Union Jack akan diturunkan pada malam ini. Ada yang turut melakukan sujud syukur di warung tersebut. Aku juga tidak terkecuali melakukan perkara yang sama.

Siapa sangka setelah sekian lama Tanah Melayu dijajah dan ditadbir oleh kuasa asing, akhirnya kemerdekaan yang diidamkan selama ini akan dicapai tidak lama lagi. Segala titik peluh dan darah yang tertumpah oleh pejuang-pejuang negara akhirnya akan terbalas. Setiap nyawa yang terkorban akibat peperangan menentang penjajah akhirnya dapat ditebus.

“Rasman, aku dengar khabar dari Derus bahawa esok pagi akan ada acara perasmian kemerdekaan yang berlangsung di Kuala Lumpur. Engkau mahu ikut aku dan Derus sekali ke sana?”

Amri yang merupakan sahabat baikku bertanya sambil menghirup kopinya. Pertama kali aku berjumpa dan berkenalan dengan Amri ketika kami sama-sama menyertai Pasukan Askar Melayu pada tahun 1948. Aku masih ingat lagi detik-detik cemas dan membimbangkan yang pernah kami hadapi ketika menentang komunis dahulu.

“Tidak menyusahkan engkau?”

“Apa menyusahkan aku pula. Aku lebih senang sekiranya engkau dan anak engkau ikut kami sekali ke Kuala Lumpur. Aku tidak mahu melihat engkau dan Kasih bersusah payah menunggu bas untuk ke sana,” ujarnya sambil meletakkan kopinya ke atas meja.

“Lagipun, aku tidak mahu engkau dan Kasih terlepas acara yang bakal menjadi peristiwa yang paling bersejarah dalam hidup kita. Bukankah ini saat yang kita semua tunggu, Rasman?”

Ya benar, inilah saat yang aku tunggu. Saat yang aku dan Melur tunggu selama ini, Aku menjadi sebak. Melur sepatutnya berada di sini mengecapi saat-saat yang bermakna ini bersamaku. Impian Melur mahu melihat ‘kemerdekaan’ yang menjajah tanah air ini dan bukannya kuasa asing durjana itu.

Sebelum air mata ini menintis, aku terus meminta diri untuk pulang ke rumah bagi menyampaikan perkhabaran baik kepada Kasih. Amri sempat berpesan sambil berseloroh supaya aku bersedia sesudah subuh dengan memakai pakaian yang paling kemas dan lawa.

Semasa berjalan kaki ke rumah, aku ternampak beberapa kuntum bunga melur putih yang mekar di tepi jalan. Bunga kesukaan Melur ini telah membawa minda aku kepada peristiwa ketika kami berjumpa untuk pertama kali.

“Nama aku Melur.”

Pandanganku dialihkan ke arah figura kanak-kanak perempuan yang sudah pun mengambil tempat di sebelahku. Senyuman terukir di wajahnya semasa mata sepet tersebut memandang ke wajahku.

“Engkau ini Rasman bukan?”

“Bagaimana engkau tahu namaku?”

“Aku baru berpindah di sebelah rumahmu bersama Bapak, Mak dan Seri,” ujarnya dengan begitu bersahaja umpama kami sudah kenal akrab sebelum ini. Senyuman masih tidak pudar di wajahnya saat dia berbicara kepadaku.

Aku kembali membaca surat khabar Warta Melayu yang berada di tanganku. Sebelum sempat mataku difokuskan ke isi kandungan surat khabar tersebut, sekali lagi telingaku menangkap suara halus yang berada di sebelahku.

“Apa yang engkau sedang bacakan itu?”

Tanpa sebarang suara, aku hulurkan surat khabar tersebut kepada Melur. Kelihatan dia membelek-belek surat khabar tersebut sebelum mengeluh kecil.

“Aku tidak faham. Aku masih belum tahu untuk membaca lagi,” katanya sebelum memberikan semula buku atau surat khabar tersebut kepadaku. Wajahnya yang penuh tanda tanya dan sedikit kecewa itu mencuit hatiku tanpa sedar ketawa kecilku terlepas.

“Kenapa engkau ketawa, Rasman?”

“Tiada apa Melur. Aku cuma terhibur dengan gelagat engkau. Mari aku terangkan tentang surat khabar ini.”

Aku tersenyum sendirian mengenangkan peristiwa tersebut. Aku dan Melur masih lagi mentah ketika itu, Kami tidak perlu risau tentang hal yang sering orang dewasa risaukan. Kami tidak perlu bersusah payah memikirkan erti pengorbanan, perjuangan dan sebagainya kerana kami masih lagi anak kecil.

Aku meneruskan perjalanan sehingga sampai ke rumah. Kelihatan Kasih sedang menyapu daun-daun kering yang berada di tanah di hadapan rumah sebelum matanya mula menangkap kelibatku.

“Ayah dah pulang,” kata Kasih sambil tersenyum. Kasih, anak hasil hubungan perkahwinan aku dan Melur. Satu-satunya anak tunggal aku dan Melur yang aku amat kasih dan sayang.

Aku melaporkan perkhabaran baik kepadanya mengenai acara yang bakal berlaku esok. Kasih kemudian mula mengesat air matanya setelah mendengar perkhabaran tersebut. Aku memahami apa yang Kasih rasakan kerana aku juga berasa sebak dan terharu ketika mendengarnya buat pertama kali.

“Ayah nak minum?”

“Tidak mengapa. Ayah sudah minum di warung tadi dengan Amri.”

Kasih diam dan hanya mengangguk kecil. Ketika aku mahu melangkah masuk ke rumah, Kasih mula bersuara kembali.

“Ayah, tadi jiran sebelah kita, Cik Salmi ada menjemput kita ke kenduri kahwinnya lusa ini. Suratnya ada Kasih letakkan di atas meja.”

Aku mengangguk dan terus masuk ke rumah. Apabila melihat surat jemputan kahwin yang diletakkan Kasih di atas meja, fikiran aku mula menerawang ketika peristiwa aku dan Melur lari bersembunyi daripada tentera Jepun di kebun pisang dahulu.

Deruan tapak kaki semakin kuat menandakan bahawa tentera Jepun tersebut semakin dekat dengan tempat persembunyian kami. Aku dan Melur cuba sedaya upaya untuk tidak mengeluarkan sebarang bunyi supaya keberadaan kami di situ tidak diketahui oleh mereka.

Kedengaran perbualan asing yang dibicarakan oleh tentera Jepun sebelum deruan tapak kaki tersebut menjauh daripada tempat persembunyian kami. Mungkin mereka mengatakan bahawa tiada apa yang curiga di sini. Perlahan-lahan aku menarik nafas lega kerana berjaya meloloskan diri daripada ditangkap oleh tentera musibat itu.

Tidak terdaya aku untuk membayangkan sekiranya tidak menjumpai Melur pada ketika ini. Adakah Melur akan ditangkap dan diseksa oleh tentera musibat itu? Adakah Melur akan dipancungkan kepala? Atau adakah Melur akan diperkosa oleh mereka sebelum dibunuh dengan kejam? Sepertimana nasib segelintir gadis-gadis Cina yang aku dengari dari penduduk kampung.

Hanya kerana Jepun bermusuh dengan China disebabkan oleh Perang China-Jepun, tentera Jepun sendiri memutuskan untuk memberikan layanan yang kejam kepada orang Cina. Sehinggakan terdapat beberapa orang perempuan berbangsa Cina yang terpaksa menyamar sebagai lelaki supaya mereka tidak dinodai oleh tentera Jepun.

Aku melirik ke arah Melur. Gadis berbangsa Cina yang telah dijaga oleh keluarga Melayu ini nampak agak keletihan. Nafasnya turun naik akibat masih penat berlari dan bersembunyi seketika tadi. Melur nampaknya masih tidak menyedari bahawa tentera Jepun tersebut sudah pun tiada di sini.

“Melur, mereka sudah tiada. Kita sudah selamat,” kataku dengan perlahan.

Wajah Melur yang tadinya gelisah akhirnya berubah menjadi tenang selepas mendengar kata-kata aku. Bibirnya mula mengorak senyuman kelegaan sambil memandang ke arahku.

“Mujur kita berjaya bersembunyi daripada mereka. Kalau tidak, kita mungkin akan diseksa dan dibunuh sepertimana orang-orang kampung kita yang pernah ditangkap dahulu.”

“Engkau tidak patut keluar pada malam-malam begini. Mujurlah aku menjumpai engkau dan kita berjaya menyembunyikan diri daripada mereka. Engkau tidak terfikir akan perasaan orang tuamu sekarang yang mungkin masih berduka dan penuh kerisauan apabila mendapati engkau masih belum pulang ke rumah pada waktu begini?”

Melur diam tidak berkutik. Wajahnya mula menjadi mendung. Tidak pasti sama ada dia rasa bersalah atas perlakuannya atau tidak suka akan bebelanku yang berbunyi seperti orang tua.

“Aku hairan kenapa engkau keluar pada waktu begini sedangkan sebelum ini engkau tidak pernah walau sekali pun mahu keluar pada waktu malam terutamanya dengan keadaan sekarang. Engkau juga tahu bahawa tentera Jepun boleh mengapa-apakan engkau bukan? Engkau cukup bernasib baik kerana aku ada bersama.”

Melur sempat mencebik mendengar ayatku. Sebelum dia sempat berkata apa-apa, aku terus bertanyakan soalan yang membelenggu diriku dari tadi.

“Sekarang jelaskan kepadaku mengapa engkau lari dari rumah?”

“Engkau sudah tahu bahawa aku lari dari rumah?” tanyanya dengan nada mengejut. Mungkin tidak menyangka bahawa aku sudah lama mengetahui sebab keberadaan Melur di luar pada waktu malam.

"Rasman, aku tidak mahu dinikahkan dengan anak Tok Penghulu itu."

"Mereka datang ke rumahku untuk merisik. Bapak dan Mak langsung diam tak bersuara sepanjang rombongan mereka berada di rumah. Aku takut sekiranya mereka terima risikan tersebut. Aku ... "

"Disebabkan itu, engkau mengambil keputusan untuk lari dari rumah pada waktu ini?"

Melur mengangguk perlahan. Sinar wajahnya mulai pudar ketika bercerita mengenai rombongan merisik yang diterimanya dari Ismail anak Tok Penghulu sekeluarga. Ismail yang gilakan perempuan itu memang tak sedar diri. Sudah ada bini pun masih gatal untuk berkahwin baru.

"Ini bukannya cara yang betul untuk menyelesaikan masalah. Engkau dah membahayakan diri engkau hanya kerana perkara bodoh itu." Jujurnya, aku sendiri tak sanggup untuk melihat Melur dan Ismail bersama. Walaupun, Melur sendiri tidak pernah mempunyai hati terhadap Ismail.

Melur diam. Matanya mula berair apabila nada suaraku menjadi tinggi. Mungkin takut aku akan memarahinya.

"Beginilah. Kita balik ke rumah engkau dan terangkan perkara yang sebenar mengapa engkau lari dari rumah. Aku yakin orang tuamu takkan marah sekiranya engkau berterus terang. Jangan bertindak melulu macam ini. Faham?"

Melur mengangguk perlahan dan kemudian kata-kata yang diucapkan selepas itu membuat aku terkedu seketika.

"Jika engkau yang datang merisik dan meminang aku, pasti aku takkan lari."

Selepas peristiwa tersebut, aku terus menyatakan keinginan untuk berkahwin dengan Melur kepada orang tuaku. Orang tuaku kemudian menghantar rombongan merisik dan seterusnya kami berkahwin.

Aku meletakkan kembali surat tersebut di atas meja DAN kemudiannya menyelesaikan urusan diri yang patut sehingga pada malam, aku dan Kasih menonton acara penurunan Bendera Union Jack di televisyen. Selepas itu, aku bergerak ke bilikku untuk tidur. Aku sempat berpesan pada Kasih untuk bersiap awal kerana Amri dan Derus akan datang esok dengan kereta untuk ke Kuala Lumpur.

Namun, pada pukul nombor bawah 10 harus dieja pagi aku masih tidak dapat melelapkan mataku. Aku yang sedang berada di atas katil mula bergerak ke kanan dan ke kiri berulang kali untuk tidur namun masih tidak berjaya. Mungkinkah disebabkan aku terlalu teruja untuk acara besar esok? Aku mula teringat kembali ketika acara penurunan Bendera Union Jack yang digantikan dengan penaikkan bendera Tanah Melayu yang dipaparkan di televisyen malam semalam,

Aku menangis sebaik bendera penjajah itu diturunkan di Padang Kelab Selangor malam tadi. Tangis penuh syukur, air mata kebebasan yang membawa tanda anak cucu aku akan dapat menentukan hala tuju hidup mereka sendiri di negara tercinta ini. Tidur aku tiada lenanya, makan pun tak lalu. Mengapa jarum jam ini lambat detaknya?

Aku tidak sabar untuk melihat sendiri perasmian kemerdekaan yang akan dilakukan esok di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Sudah semestinya aku tidak akan melepaskan peluang untuk melihat saat yang menggembirakan apabila tanah tumpahnya darahku ini akhirnya akan mencapai sebuah kemerdekaan,

Sekiranya Melur masih ada, dia pasti akan turut berasa sebak dan teruja seperti aku.

 Aku masih ingat betapa marahnya dia apabila penjajah menguasai tanah air ini. Aku tidak akan pernah melupakan wajahnya yang penuh kecewa apabila permintaannya untuk menjadi seorang askar sejak dari kecil telah ditentang oleh orang tuanya.

Melur yang aku kenal merupakan seorang yang sangat tegas dengan keputusannya. Namun begitu, apabila melibatkan orang tuanya terutamanya Bapak, ketegasan yang ada dalam dirinya mula pudar. Dia tidak mampu melawan kata-kata Bapak kerana jasa Bapak membela dan menyara hidupnya terlalu besar baginya sehinggakan apa yang sahaja yang Bapak katakan akan cuba untuk dituruti.

Disebabkan impiannya untuk menjadi seorang askar tidak kesampaian, akulah yang menggalas dan menunaikan impian tersebut walaupun telah ditentang oleh Melur sekeras-kerasnya. Melur cukup marah apabila dia mendapat tahu bahawa aku telah menyertai Pasukan Askar Melayu apabila surat tawaran tersebut telah dihantar ke rumah.

Melur berdiri di hadapanku. Wajahnya yang berkulit kuning langsat itu bertukar kemerahan dan matanya yang sudah sepet itu semakin disepetkan tatkala dia memandang tajam ke arahku. Malah, kedua-dua tangannya juga digenggamnya erat cuba menahan amarah yang sedang bergolak di dalam tubuhnya.

“Rasman, apa engkau fikirkan ini? Engkau sudah gila?”

“Kenapa dengan engkau ini datang ke sini marah marah dan gelarkan aku gila secara tiba-tiba?”

“Ya memang engkau sudah gila. Sudah aku larang berkali kali tetapi engkau langsung tidak pedulikan aku. Malah, engkau sanggup buat keputusan tersebut tanpa berbincang denganku terlebih dahulu. Apakah aku ini masih isterimu, Rasman?”

“Melur, aku buat semua ini pun demi kau, demi anak kita, demi tanah air kita. Bukankah ini impianmu sejak dahulu lagi?”

“Aku tidak hendakkan lagi impian itu. Aku sudah ada engkau dan anak kita. Itu pun sudah cukup buatku. Aku tidak mahu engkau jadi askar. Aku tidak mahu engkau terkorban dalam medan peperangan. Aku mahu engkau berada bersamaku di samping anak kita yang akan lahir tidak lama lagi.”

Melur mengusap lembut perutnya sambil air mata menitis perlahan di pipinya. Aku tidak sanggup melihat Melur menangis. Serasa aku mahu memeluk dan menenangkannya namun aku tidak mampu. Aku tidak mahu keputusanku untuk menyertai Pasukan Askar Melayu akan goyah disebabkan hatiku terkesan mula dengan air mata Melur.

“Aku sayangkan engkau, Melur. Aku terlalu sayangkan engkau dan disebabkan itu aku hendak tunaikan impian engkau. Impian engkau untuk menjadi pejuang tanah air. Untuk menjadi seorang sojar.”

“Engkau sudah tahu itu impian dan cita-citaku. Bukan impian dan cita-cita engkau, Rasman. Aku tidak faham kenapa engkau yang perlu menunaikan impian dan cita-citaku? Kenapa engkau yang perlu jadi sojar? Sedangkan dahulu engkau tidak pernah terfikir pun untuk menyertai sojar?”

Lidah aku kelu. Pertanyaan Melur membuatku tergamam. Memang benar kata Melur, tidak pernah terlintas pun di fikiranku untuk menjadi seorang askar. Sebab utamanya aku tidak mahu merisikokan nyawaku sendiri. Padaku, untuk menjadi seorang askar, jiwanya harus kental dan kuat dan tanggungjawabnya juga terlalu besar untuk aku galas.

Berjuang untuk menentang musuh di medan peperangan demi tanah air bukannya mudah. Tapi mengapa sekarang aku mahu menyertai askar? Mengapa semangat untuk berjuang menentang musuh di medan peperangan muncul dalam diriku? Mengapa aku secara tiba-tiba terlalu dahagakan kemerdekaan untuk tanah air kami sendiri?

Aku pandang ke arah Melur. Wanita yang kini menjadi isteriku. Wanita yang bakal menjadi ibu kepada anakku. Wanita yang dahulunya merupakan kawan sepermainanku dan sekarang sudah menjadi suri di hatiku. Wanita ini yang mengubah persepsi aku mengenai perjuangan seorang askar yang menggadai nyawanya demi sebuah kemerdekaan.

Dahulu, aku tidak pernah menghiraukan apa yang terjadi di sekelilingku. Jika bukan kerana Melur, mungkin sehingga sekarang aku tidak sedar bahawa tanah air yang aku duduki sekarang ini mungkin telah menjadi hak milik mutlak kuasa asing sekiranya tiada seorang pun rakyat yang mempunyai semangat untuk berjuang menentang mereka.

Aku masih berkeras dengan keputusanku untuk menjadi seorang askar sehingga Melur terpaksa menjadi akur. Padanya, tiada guna untuk dia berkeras dan melarang kerana aku masih tetap dengan keputusanku. Aku merasakan inilah cara untuk aku berkhidmat dan berbakti untuk tanah airku di samping dapat mempertahankan tanah air ini dengan keringatku sendiri.

Ketika aku menyertai latihan ketenteraan, ia sangatlah perit dan sukar untuk aku teruskan. Namun begitu, aku dapat menghadapinya dengan cekal berkat dengan dorongan dan sokongan Amri dan rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Dan aku tidak lupa untuk mengirimkan surat kepada Melur setiap kali aku ada peluang dan masa. Walaupun tidak semua surat aku mendapat balasan daripada Melur, aku masih gembira kerana aku dapat melaporkan aktiviti aku kepadanya.

Sehinggalah peperangan dengan komunis semakin mengganas. Ramai rakan seperjuangan aku yang terkorban. Ketika berperang, aku tidak dapat mengetahui keberadaan Melur dan anakku. Sehinggalah apabila peperangan SUDAH mula kendur, aku telah mendapat perkhabaran bahawa Melur mati dibunuh oleh orang komunis.

Betapa luluhnya hatiku mendengar perkhabaran tersebut. Betapa tewasnya aku kerana tidak dapat mempertahankan keselamatan isteriku sendiri. Melur mati kerana mempertahankan keselamatan anak kami, Kasih dan jasanya itu takkan sedikit pun aku lupakan. Kerana Melur merupakan wira di mataku.

Entah bila aku sudah terlena ketika mengimbas kembali kenangan-kenangan aku bersama Melur sehingga dia meninggalkan aku dan Kasih. Aku cuma tersedar apabila Kasih mengejutku bangun untuk bersiap.

Setelah aku bersiap, kelihatan Amri dan Derus menunggu kami di dalam kereta.

Perjalanan dari rumahku ke Kuala Lumpur tidak memakan masa yang lama. Walaupun kami sudah tiba pada awal pagi, namun kenderaan mula berpusu-pusu dengan begitu sibuk. Kami mula memakirkan kereta di ruangan parkir yang ada dan mula berjalan kaki ke tempat yang lebih luas.

Daripada tempat kami berada dapat dilihat Tunku Abdul Rahman tiba dengan disususli dengan ketibaan Raja-raja Melayu, Yang Dipertuan Agong, Permaisuri serta Duke dan Duchess of Gloucester. Upacara ucapan dan pembacaan Pemasyhuran Kemerdekaan dilakukan sebelum laungan merdeka diperdengarkan.

Tepat pukul 8.15 pagi, laungan ‘Merdeka’ daripada Tunku Abdul Rahman mula kedengaran. Sebanyak tujuh kali laungan dilakukan dan disahut oleh kami yang berada di situ. Keadaan yang aku lalui sekarang amatlah menyentuh hati. Inilah saat yang aku dan Melur nantikan telah menjadi realiti.

Melur, ketahuilah bahawa inilah kemerdekaan yang engkau impikan selama ini. Inilah perasaan yang seharusnya engkau dan aku rasakan. Perasaan sebak dan terharu kerana akhirnya perjuangan kita tertebus jua.

Dalam laungan gemersik suara cukup mendamaikan itu,kelopak mata ini tidak mampu lagi membendung air yang tumpah deras. Aku tenggelam dalam gema Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sinari Cahaya Baharu di Bumi Bertuahku

Penulis: Siti Zulaikha Binti Mohd Tang (USM)

Gembira bukan kepalang. Tiada kata dapat diungkapkan untuk menggambarkan apa yang dirasai ketika ini. Bukan aku saja, tapi semua. Aku rasa mereka yang cintakan tanah bertuah ini turut berkongsi rasa yang sama.

Aku menangis sebaik bendera penjajah itu diturunkan di Padang Kelab Selangor malam tadi. Tangis penuh syukur, air mata kebebasan yang membawa tanda anak cucu aku akan dapat menentukan hala tuju hidup mereka sendiri di negara ini. Tidur aku tiada lenanya, makan pun tak lalu. Mengapa jarum jam ini lambat detaknya.

Penantian ini membawa aku mengimbau ke masa yang sangat menyakitkan. Tidak dapat ku gambarkan bertahun-tahun lamanya kami menderita di kekang oleh tangan-tangan penjajah yang tidak mempunyai sifat kemanusiaan.

 Hidup seakan-akan boneka yang digerakkan oleh para penjajah. Di mana belas kasihan mereka? Apa mereka dilahirkan tanpa belas kasihan? 1001 persoalan muncul dalam benak fikiranku.

“ truuttttttt, truttttttt, trutttttttt,  Kebommmmmmm!!!”.

Seluruh tubuhku menggeletar terpaku menginjak bumi berharap agar langit biru menjadi payung yang mampu melindungi kami daripada hujan peluru yang dilepaskan oleh tentera jepun pada 8 Disember 1941.

Langit seakan gelap tidak berwarna. Disinilah titik mulanya keperitan dan penderitaanku. Ketika serangan dilancarkan, Detak jantungku berdegup seakan-akan kelajuan seekor kuda yang berlari kencang menuju ke medan perang.

Serangan meriam itu menghancurkan petempatan kami. Aku berlari sekuat hati menghampiri sosok ibuku. Dapat ku dengar jeritan ketakutan yang sangat kuat. Dalam suasana yang hingar-bingar, aku dan ibuku bergegas ke hutan berhampiran bagi menyelamatkan diri.

Setelah berjam-jam lamanya, aku melihat keadaan mula tenang. Tiada lagi laungan dan jeritan ketakutan.

“Ibu, dimana ayah? Mengapa ayah tidak datang ke sini mencari kita?” tanyaku kepada ibu.

Ibu diam seribu bahasa dan hanya memeluk erat akan diriku. Kami dan beberapa orang yang lain keluar dari hutan itu. Dalam ketakutan, mataku memandang sekeliling cuba mencari sosok ayahku.

 

Sungguh pilu hatiku melihat tempat tinggalku yang menyimpan banyak kenangan indah musnah dihancurkan oleh serangan meriam. Tanah lapang yang dahulunya menjadi tempat permainanku kini dipenuhi dengan ratusan jasad yang terbaring kaku.

 

Langkahku menjadi semakin perlahan. Aku memerhati keadaan sekeliling dengan penuh teliti. Aku tidak sanggup lagi meneruskan langkah menyeberangi lautan manusia yang penuh dengan lumuran darah.

Aku cuba menatap wajah ibuku. Dari raut wajahnya, dapat ku lihat kegelisahan dan ketakutan yang tidak dapat dia ungkapkan. Ibu memegang erat tanganku memimpinku dengan penuh sokongan untuk mencari lelaki yang sangat kami cintai.

Aku melihat sosok lelaki yang terbaring kaku dihempas oleh sebatang kayu diatas badannya. Wajahnya tidak jelas kulihat kerana ditutupi dengan lapisan tanah yang agak tebal.

Aku cuba menghampiri. Semakin dekat, semakin kuat hatiku mengatakan bahawa dialah sosok yang aku cari. Ibu hanya melihatku dari jauh. Aku meneruskan langkahku.

Dalam rasa gementar, aku memberanikan diri mengusap wajah lelaki itu bagi menghilangkan debu yang tebal dimukanya. Lututku mula longgar sebaik sahaja aku melihat wajahnya dengan jelas.

“Ibu!!!  Ibu!!! Ini ayah Ibu !!! Melur jumpa ayah ibu!!” Teriakku sepenuh hati  kepada ibu.

Separuh jiwaku hilang dibawa pergi bersama ayahku. Ibu bergegas ke arahku. Tidak dapat kugambarkan kesedihan yang dirasai oleh ibu ketika itu. Aku dan ibu bersama-sama mengangkat kayu yang menindih jasad ayahku.

Kami dibanjiri dengan air mata. Ibu memeluk ayah sekuat hati. Aku diam tanpa kata. Sungguh aku dihantui dengan rasa penyesalan yang tiada kesudahannya.

Sehari sebelum kejadian ngeri ini berlaku, ayah menghadiahkan selendang putih yang dihiasi dengan butiran manik yang sangat indah. Ayah mengusap lembut kepalaku dan berkata,

“Melur ini semakin dewasa, usahlah disimpan amarah itu dengan lama, takut nanti buruk padahnya. Maaf atas kelewatan ayah dalam menunaikan hasrat Melur,” kata ayah dengan nada yang rendah.

Sungguh aku menyesal atas sikapku yang merungut kerana kelewatan ayah dalam memenuhi kehendakku. Aku tidak sangka secepat ini ayah pergi meninggalkanku. Aku menangis dengan penuh penyesalan dan kelewahan.

Pahlawan yang sentiasa melindungiku kini tiada lagi. Insan yang sentiasa mengukirkan senyuman diwajahku ini telah pergi meninggalkan ku dan ibuku buat selamanya.

Kini, tinggal aku dan ibuku sahaja meneruskan perjuangan di bumi bertuah ini.

Jiwaku meronta. Air mata tidak berhenti membasahi pipiku. Aku seperti nakhoda kehilangan angin. Kemana hendak pergi mengemis, mencari untung nasib?

 Hidup menjadi kelam dan suram, tak dapat ku lihat indahnya warna-warni kehidupan. Kegelapan semakin menghantui kehidupanku. Ibu menjadi penguat bagi aku meneruskan perjuangan ini. Dialah ibu dialah juga ayah.

Kami hidup dengan penuh kesengsaraan. Apa yang mampu kami lakukan ialah menuruti segala telunjuk daripada tentera Jepun. Di mana letaknya harga diriku? kami mengerah tenaga mengutip hasil tanah air sendiri untuk diberikan kepada orang lain.

     Beban dibahu ini tidak terpikul. Alangkah peritnya menjadi orang suruhan di tanah kelahiran sendiri. Keperitan ini terpaksa aku diamkan untuk melanjutkan kehidupan yang aku sendiri tidak tahu di mana hujungnya kisah ini.

Bertahun-tahun menjalani kehidupan dalam suasana yang gelap. Hari-hariku di isi dengan teriakan meriam dan senapang. Serangan demi serangan dalam menakluki tanah bertuah yang kaya dengan hasil bumi ini.

Dapat ku lihat darah bercucuran membasahi tanah disetiap pelosok bumi bertuah ini. Betapa murahnya harga darah ketika itu. Kerja dan tugas malaikat dalam mencabut nyawa kini diambil alih oleh tangan-tangan manusia yang tidak mempunyai belas kasihan dan hati nurani. Nyawa manusia menjadi taruhan dalam mempertahankan bumi bertuah ini.

Aku melihat suasana yang sangat kejam. Siang dan malam tidak lekang dimulutku memohon dan menadah tangan ke langit berharap kepada sang pencipta untuk mengakhiri segala keperitan ini.

Sesungguhnya aku tidak sanggup hidup dalam keadaan sebegini. Namun, aku berfikir mengapa tanah kelahiranku yang diberikan ujian sedemikian? Mengapa aku dan beribu-ribu rakyat lain menjadi insan yang terpilih untuk menjalani dugaan ini? Apakah Tuhan tidak adil terhadap kami? Aku kembali mempersoalkan takdirku dan kembali bertanya bilakah keperitan ini akan tiba di titik noktahnya?

Setiap hari aku menjalani kehidupan yang sama seakan-akan dejavu. Beribu batalion Rejimen Askar Melayu menjadi benteng dalam menangkis serangan hujan peluru yang dilepaskan oleh tentera jepun. Namun, setiap hari bilangan angka pejuang semakin berkurang dek kerana satu demi satu pejuang bumi bertuah ini gugur dalam gelanggang pertaruhan.

Bumi turut menangis melihat pengorbanan insan yang berjuang mati-matian dalam mempertahankan tanah kelahiran kami.

Ketika bertapaknya penjajah Jepun di bumi kelahiranku ini, perasaannya seakan -akan hamba di rumah sendiri. Pelbagai pembaharuan yang dijalankan oleh mereka. Bagaimana aku yang berdarah Melayu tulen terpaksa akur dalam mengikuti dasar- dasar yang diperkenalkan oleh Jepun?

Sungguh, aku malu dengan diri sendiri! Maruahku sebagai seorang Melayu tercemar kerana aku terpaksa menunjukkan kesetiaan kepada maharaja Jepun.

Sungguh aku malu terhadap diriku kerana tunduk kepada pemerintah yang kejam dan tidak mempunyai sifat kemanusiaan. Identiti sebagai seorang Melayu hilang dek kerana dipaksa mengikuti budaya mereka, melaungkan lagu dan nyanyian dalam bahasa mereka. Aku melakukan semua ini demi kelangsungan hidup kerana ketika itu nyawa kami dihujung tanduk. Aku ibarat kerbau yang dicucuk hidung.

Hari silih berganti, tahun demi tahun aku tempuhi bersama-sama ibuku. Akhirnya, keperitan ini serba sedikit berkurang apabila pihak Jepun menyerah kalah dan kembali ke tanah air mereka pada tanggal 14 Ogos 1945.

Tanpa aku sedari, tiga tahun aku menjadi boneka dibawah genggaman penjajah Jepun. Beban dibahuku sedikit demi sedikit menjadi ringan. Ketika itu aku ingatkan keperitan ini sudah pergi meninggalkan kami bersama-sama pemergian penjajah Jepun. Namun aku silap.

Keperitaan ini masih aku rasai ketika Parti Komunis Malaya cuba mengambil alih kuasa dan tampuk pemerintahani. Namun, cubaan mereka gagal. Apa tidaknya, bayangkan dalam tempoh 14 hari sahaja terlalu banyak kekacauan yang ditimbulkan oleh mereka.

Setelah pertumpahan darah yang berlangsung selama bertahun-tahun, kini dalam tempoh 14 hari aku merasakan keadaan yang huru-hara dan kekacauan yang berpanjangan. Apalah nasibku ini.

Perjalanan hidupku penuh dengan onak dan ranjau kehidupan. Sungguh berat ujian yang diberikan kepada kami. Namun, aku tetap setia berada di tanah kelahiranku untuk melihat apakah ada kebahagiaan yang menantiku di hadapan sana.

Tempoh 14 hari itu tidaklah terlalu lama jika dibandingkan dengan pendudukan Jepun yang mengambil masa bertahun-tahun. Bulan september 1945 menjadi saksi kepada kedatangan pihak lain yang sekali lagi cuba menguasai bumi bertuah ini.

Sama seperti penjajah sebelum ini, mereka berkulit putih, tinggi dan berpakaian kemas dibandingkan dengan kami yang hanya kaum sarungan. Bahasa mereka agak berbeza dengan bahasa ibunda di tanah kelahiranku ini. Aku mula bertanya kepada diri sendiri.

“Siapa pula mereka ini? Apa tujuan mereka datang menghuni bumi bertuah ini?” tanya ku dalam hati.

Sama seperti penjajah lain, tujuan mereka sama! Menjadikan kami boneka dan mengaut segala hasil yang ada di bumi bertuah ini untuk digunakan bagi kemajuan negara mereka.

 Lalu apa yang ditinggalkan untuk kami? Apa timbal balik yang kami peroleh daripada kedatangan mereka? Jawapannya tetap sama. Kedatangan mereka hanya meninggalkan kesengsaraan kepada penduduk dan menghabiskan sumber kekayaan yang ada di dalam perut bumi bertuah ini.

Siapa yang harus dipersalahkan dalam keadaan ini? Siapa pula yang harus bertanggungjawab dalam mengembalikan maruah dan kedaulatan tanah air ini? Aku tidak mendapat sebarang jawapan terhadap persoalan itu.

Aku masih beranggapan bahawa Tuhan bersikap tidak adil ke atas kami. Mengapa kami yang ditindas tanpa mendapat balasan yang setimpal atas kerosakan yang mereka lakukan.

Bagaimana kekayaan alam kami diceroboh dan digantikan dengan bayaran nyawa-nyawa manusia yang tidak bersalah. Malang sungguh bumi bertuahku ini. Kejam! tiada keadilan yang aku lihat!

 Apakah Tuhan tidak menyaksikan kesengsaraan penduduk di sini? Apa Tuhan tidak mendengar bait-bait bicara yang dipohon oleh segenap umat di bumi bertuah ini? Ya, sekali lagi aku cuba mempersoalkan takdir. Melihat penderitaan demi penderitaan, aku diam dan menyaksikan apa yang bakal berlaku di kehidupan akan datang.

Aku bangun melihat ke arah luar. Cuba menatap sekiranya ada pelangi yang muncul di luar sana. Jangkaan ku silap. Tanah kelahiranku masih diselubungi kegelapan dan keperitan yang hanya berganti dari satu tangan ke tangan penjajah yang lain.

Bilakah cahaya akan kembali menyinari bumi bertuah ini? bilakah aku dapat melihat semula keindahan warna-warni? bila semua ini akan berakhir? Aku tetap menjalani kehidupanku dan terus menunggu jawapan bagi setiap persoalanku.

Ketika ini, bumi bertuahku dibawah genggaman pihak British. Pada awalnya aku mendengar bahawa kedatangan mereka ini adalah untuk melatih para pemimpin kami agar dapat mentadbir dengan baik. Maka daripada itu, mereka memperkenalkan Malayan Union yang kononnya memacu bumi bertuah ini ke arah yang lebih moden dan teratur.

Aku tidak menyalahkan pemimpin kami ketika itu kerana dari kecil kami hanya didedahkan dengan pendidikan yang bersifat moral dan keagamaan. Ilmu pentadbiran hanya dipelajari oleh pemimpin dan golongan tertentu sahaja. Hal ini menyebab kami lemah dalam meneliti selok-belok pemerintahan kerajaan. Perkara ini menjadi penyumbang dan membuka laluan kepada para penjajah untuk mengambil alih kuasa di tanah ini.

Kedatangan mereka tidak tertumpu untuk melatih pemimpin kami mentadbir kerajaan namun, mereka lebih ghairah dalam memanfaatkan hasil bumi ini. Mereka canangkan pelbagai propaganda dan tipu muslihat untuk mengaburi mata-mata insan yang lemah seperti kami. Apakan daya diri ini cetek ilmu pengetahuan. Bertindak pula seperti kerbau dicucuk hidung. Hanya membenarkan segala kemahuan mereka.

 Apa tidaknya, ketika manusia di luar sana sibuk menggali dan mendalami pelbagai ilmu, kami di sini hanya mampu mendiamkan diri mengikut telunjuk orang lain bagi menyelamatkan diri daripada diacukan senapang yang boleh memisahkan jasad dan nyawa pada bila-bila masa.

Bertubi-tubi nasib malang yang menimpaku dan bumi bertuahku ini. Kami ditertawakan oleh para penjajah yang berjaya mengatur langkah dan stratergi dalam menjalankan tipu muslihat ke atas penduduk di bumi bertuah ini.

Propaganda yang mereka jalankan berjaya memperdayakan kami dan para pemimpin. Malayan Union yang dikatakan kononnya melatih pemimpin untuk mentadbir kerajaan hanyalah janji manis para penjajah ibarat menanam tebu dibibir.

Bagaimana suara dan keluhan hati kami dapat didengar oleh pemimpin. Aku cuba berteriak sekuat hati menyuarakan aku ingin bebas daripada cengkaman ini! Namun aku sedar bahawa aku tidak mempunyai kedudukan dan aku hanyalah rakyat biasa yang dipergunakan dan dimanfaatkan oleh penjajah. Ketika itu, keperitan ini bukan aku sahaja yang dapat rasakan.

Ternyata keperitan yang aku rasakan turut dirasai oleh orang lain. Kami ingin bebas daripada penjajahan ini. Kami ingin hak kami dikembalikan. Kembalikan kebebasan kami yang telah lama hilang diambil oleh tangan manusia yang tidak mempunyai belas kasihan.

Waktu itu, muncul pejuang-pejuang yang bijak menyusun kata bagi membuka mata pemimpin untuk berjuang mengembalikan kedaulatan dan maruah bumi bertuah ini.

Bait bicara disusun dan keperitan diluahkan di atas sekeping kertas yang mampu menyampaikan kesedihan ini agar dapat didengari oleh pihak pemimpin.

Penulisan ini menyentuh hati segenap umat manusia di bumi bertuah. Membangkitkan semangat untuk berjuang mempertahankan negara. Kalau bukan sekarang bila lagi? Kalau bukan kita yang berjuang siapa lagi yang akan menebus kemerdekaan bagi bumi bertuah kita ini.

Siapa sangka hanya melalui penulisan dapat menyemarakkan api semangat juang untuk menuntut pembelaan terhadap bumi bertuah ini. Penulisan yang menyentuh hati ini menjadi titik tolak yang membawa kepada kebebasan tanah kelahiranku ini.

 Di sini, aku melihat cahaya dan aku dapat menghidu bau-bau kemenangan ke atas tanah kelahiranku ini. Langit hitam yang menyelubungi bumi bertuah ini bakal berakhir tidak lama lagi.

Luahan di atas kepingan kertas itu telah menyebabkan para pemimpin bersatu dan membawa kepada pembentukan persatuan yang dikenali sebagai Union Malayan National Organization (UMNO) pada 11 Mei 1946.

 Tentangan hebat daripada orang-orang Melayu berjaya memecahkan tembok British yang telah lama bertapak di bumi bertuah ini. Kerjasama para pemimpin telah membimbangkan pihak penjajah. Hal ini memberi semangat baharu kepadaku dan aku semakin hampir mendapatkan jawapan bagi setiap persoalanku.

Kebimbangan pihak British menyebabkan salah seorang gabenor yang terkenal ketika itu iaitu Sir Edward Gent sendiri, berunding dengan Raja-raja Melayu di Kuala Kangsar pada 24 Mei 1946.

Hasil rundingan serta sokongan daripada beberapa pegawai tinggi British telah membawa kepada pembentukan Tanah Melayu 1948. Penindasan demi penindasan yang aku lewati akhirnya membuahkan hasil. Aku semakin teruja untuk melihat apa yang Tuhan telah aturkan di kehidupan akan datang.

Aku memejamkan mataku menikmati angan-anganku yang belum termakbul. Kebebasan yang selama ini aku nantikan semakin jelas ku lihat. Kabus-kabus hitam yang menyelubungi di setiap kehidupanku akhirnya memancarkan cahaya. Walaupun cahaya tersebut tidak terlalu jelas, namun aku yakin dan percaya bahawa suatu hari nanti kabus ini akan hilang bersama-sama pemergian para penjajah.

Berita penggubalan perjanjian Tanah Melayu 1948 tersebar memberikan kegembiraan kepada semua penduduk di bumi bertuah ini. Perkara itu menjadi asas dan menjamin hak kami sebagai tuan rumah di bumi bertuah ini. Sedikit masa lagi kami akan merasakan kebebasan hakiki yang sepatutnya menjadi milik kami dari dahulu lagi.

Setiap hari aku bangkit menadah kedua tangan ke langit memohon ampun dan maaf keatas-Nya kerana mempersoalankan segala aturan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Setiap hari aku bangun dengan suntikan semangat baharu.

 Tujuan hidupku semakin jelas ku lihat. Hari berganti hari, akhirnya aku mendapat khabar bahawa 27 Julai 1955 sebuah pilihan raya pertama akan diadakan di bumi bertuah ini.

Aku dan ibuku tidak mahu ketinggalan dalam menetukan calon pemimpin yang layak melepaskan bumi bertuah ini daripada cengkaman penjajah. Kami turut menghadiri pilihan raya tersebut agar tidak ketinggalan dalam mengetahui kronologi pembebasan bumi bertuah ini.

Pilihan raya yang berlangsung telah membentuk sebuah parti perikatan yang terdiri daripada kerjasama dengan pihak Malayan Chinese Assosiation yang tubuhkan pada 27 februari 1949 dan kerjasama dengan Malayan Indian Congress yang ditubuhkan pada ogos 1946.

Kegembiraan yang tidak dapatku zahirkan apabila melihat pemimpin yang terdiri daripada pelbagai bangsa bersatu dengan tujuan yang sama iaitu memperjuangkan tanah kelahiranku ini.

Bayangkan sejarah lampau yang hampir menyebabkan kami berbalah antara satu sama lain angkara muslihat daripada penjajah akhirnya menyebabkan kami bersatu menentang mereka. Sudah pasti pihak British dibanjiri peluh kerisauan dan merasai kesedihan yang kami rasakan terdahulu.

Sebentar sahaja lagi mereka terpaksa memulangkan kedaulatan dan hasil bumi bertuah ini kepada pemilik asalnya. Aku semakin teruja menanti hujung pangkal kisah ini. Aku berharap agar masa berputar dengan cepat tanpa ada jeda walaupun hanya sedetik.

Nikmat syukur yang tidak terhingga aku ucapkan kepada sang pencipta. Ternyata doa yang ku panjatkan didengar dan Tuhan sengaja membiarkan aku melewati proses demi proses bagi mencari jawapan untuk setiap persoalan yang aku ajukan. Awan hitam sudah hilang. Terpancar cahaya kegembiraan yang sangat terang. Udara kembali segar dan setiap hirupan udara memberi semangat baharu dalam hidupku.

Rundingan yang dijalankan mengambil masa 2 bulan. Dalam 2 bulan itu aku bersiap sedia untuk menantikan berita gembira yang bakal disampaikan. Tepat 8 Februari 1956, aku dikejutkan dengan berita bahawa perjanjian merdeka untuk bumi bertuah ini telah dimeterai dan tarikh keramat yang merupakan tarikh yang ditunggu- tunggu oleh segenap umat dibumi bertuah ini iaitu 31 Ogos 1957 telah ditetapkan sebagai tarikh kebebasan bumi bertuah ini daripada cengkaman pihak British.

Kini, aku bukan lagi boneka yang diatur dan dimainkan oleh pihak penjajah. Aku berhak menentukan hala tuju hidup dan kebebasanku! Aku bebas melebarkan sayapku terbang ke mana sahaja yang aku mahukan.

Tali yang diikatkan di tangan dan kaki ku ini telah diputuskan. Aku bebas! aku tidak lagi dikongkong oleh mana-mana pihak! Aku tidak dapat mengawal kegembiraanku ketika itu. Aku kembali melihat cerahnya langit yang diwarnai dengan warna biru muda yang membawa kedamaian dan keamaan dimataku.

Aku menanti dengan penuh syukur kepulangan insan-insan yang telah berjuang mendapatkan kebebasan bagi bumi bertuahku ini. Doaku sentiasa mengiringi pemergian dan kepulangan mereka ke tanah air tercinta. Penantian demi penantian akhirnya mereka tiba dengan selamat di tanah air ini pada 20 Februari 1956.

Ketika itu, berita pengisytiharan kemerdekaan yang sangat mengembirakan disampaikan oleh Tunku Abdul Rahman di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka. Aku bersama-sama ibu dan rakan yang lain turut teruja.

 Kaki ku seakan-akan tidak berpijak di atas tanah. Aku masih tidak percaya atas apa yang berlaku. Aku dan rakan- rakanku bersorak keriangan menikmati suasana di ambang kemerdekaan.

Satu demi satu persoalanku terjawab. Segala hajat yang kupanjatkan selama ini sudah dimakbulkan. Selangkah sahaja lagi, aku akan mengecapi kebebasan yang hakiki.

Selama 16 tahun aku hidup dalam penderitaan. Menahan segala kesedihan. Aku hanya mampu menundukkan kepala mencium lantai bumi bertuah sambil menceritakan segala keperitanku kepada sang pencipta. Bertemankan rasa takut dan air mata akhirnya aku tiba di satu fasa yang sangat aku nantikan.

Dalam tempoh itu, banyak benda yang aku pelajari. Bagi aku, persefahaman antara kaum amat penting dan menjadi resepi utama dalam mendapatkan kemerdekaan bagi bumi bertuah ini.

Ujian demi ujian mengajarkanku bahawa setiap keperitan hidup yang aku lalui akan mendatangkan kebahagiaan di hadapan kelak. Kunci bagi semua perkara yang terjadi adalah kesabaran.

Sesungguhnya jalan sesebuah kehidupan insan telah dicorakkan dengan sempurna oleh sang pencipta. Kegelapan yang selama ini aku lihat telah berubah menjadi sebuah pelangi yang sangat indah.

“ Kokkkkkkkk, kokkk, kokkkkkkkk kokk”

Bunyi ayam berkokok menyedarkanku dari lamunan. Tanpa aku sedari, fajar telahpun terbit menandakan waktu subuh. Sebentar lagi matahari akan bangun untuk menerangi kehidupan dan memberikan semangat baharu kepada aku dan seluruh penduduk di bumi bertuah ini.

Aku bergegas untuk bersiap bagi menghadiri perhimpunan di Stadium Merdeka. Aku tidak mahu terlambat dalam menyaksikan detik-detik keemasan yang sangat aku nantikan selama ini.

Aku membuka tingkap. Pagi hari ini tidak sama seperti pagi-pagi sebelumnya. Awan gelap kini tiada lagi. Kelopak-kelopak bunga segar bermekaran pagi itu. Mungkin mereka juga mengerti akan kegembiraanku terhadap kebebasan tanah airku.

Aku mengenakan kebaya merah tenunan songket hasil tangan ibuku. Tidak lupa juga untuk menyarungkan selendang putih yang merupakan peninggalan terakhir ayahku.

Setibanya di sana, aku melihat ramai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama menantikan kehadiran Tunku Abdul Rahman beserta pegawai dan wakil pihak British.

“Ayah, kita sudah menang, kita tidak akan lagi hidup dalam kegelapan, cahaya yang dulunya hilang kini suda kembali,” Kataku di dalam hati.

Keringat dan pertumpahan darah pejuang terdahulu membawa kebebasan kepada bumi bertuah ini. Aku dapat merasakan semangat dan kehadiran ayahku di sini bersama-sama menanti detik keemasan.

Aku berdoa semoga sahaja penerus bangsa, anak, cucu dan cicitku mengekalkan kedaulatan ini daripada diceroboh oleh pihak luar.

Ketibaan Tunku Abdul Rahman dan beberapa wakil serta pegawai British mendapat sorakan. Sorakan dan laungan bergema di seluruh bahagian Stadium.

Detik-detik keemasan ini akan menjadi sejarah yang masyur dan akan aku ceritakan kepada anak, cucu dan cicitku kelak. Dalam laungan gemersik suara cukup mendamaikan itu,kelopak mata ini tidak mampu lagi membendung air yang tumpah deras. Aku tenggelam dalam gema Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Seng 
Penulis: Tan Jiaan Liang (USM)

Gembira bukan kepalang. Tiada kata dapat diungkapkan untuk menggambarkan apa yang dirasai ketika ini. Bukan aku saja, tapi semua. Aku rasa mereka yang cintakan tanah bertuah ini turut berkongsi rasa yang sama. Aku menangis sebaik bendera penjajah itu diturunkan di Padang Kelab Selangor malam tadi.

Tangis penuh syukur, air mata kebebasan yang membawa tanda anak cucu aku akan dapat menentukan hala tuju hidup mereka sendiri di negara tercinta ini. Tidur aku tiada lenanya, makan pun taklalu. Mengapa jarum jam ini lambat detaknya...

“Tik...tik...tik..." kesunyian malam dipecahkan sekali-sekala dengan bunyi jarum jam yang berpusing tanpa henti. Untuk beberapa saat, hatiku hanyut dalam kebisuan. Telah dua jam aku dihanyutkan oleh khayalan penuh dengan mimpi-mimpi ngeri yang berduri. Air muka melukis kepedihan yang maha dalam. Badanku terasa penat untuk bangun, cuba meninggalkan bantal dan selimut yang berat seperti batu di atas paha.

Mataku memandang ke arah isteriku, Siew dan anak perempuan, Mei yang masih berbaring di tepi. Dalam diam, air mata mengalir di pipiku. Air mataku tidak seperti air mata orang lain. Sebenarnya, aku sedang berasa sedih dengan kematian anak sulung, Seng. Roh anakku yang tersayang malangnya dibawa secara tiba-tiba oleh ombak penderitaan. Aku kembali menyelimuti tubuh, dan mengalihkan pembaringan ke arah kiri. Mata tertancap para ruang katil yang sepatutnya berpenghuni. Secara tiba-tiba, aku teringat akan peristiwa yang berlaku pada Seng beberapa tahun yang lalu.

Tidak pernah aku lupa akan perang gerila yang berlaku di kampungku pada tahun 1952. Dalam suasana ketidakpastian yang berterusan, anggota Parti Komunis Malaya (PKM) telah melaksanakan kekejaman terhadap penduduk kampung tanpa sebarang belas kasihan. Namun pada masa itu, kami penduduk semua tidak menyedari bahawa mereka sudah bersembunyi di dalam hutan berhampiran selama beberapa bulan.

Mentari tergantung di langit nampaknya terang, tetapi pancaran cahaya tidak dinikmati sesiapa yang berada di bawah kegelapan. Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan dan menutupi rumput yang menghijau.

Seng, kira-kira enam belas usianya, berseluar pendek hitam kepucatan dan berbaju singlet putih yang berlubang-lubang, sedang membantu menyapu daun-daun kering di halaman depan rumah. Dah sampai pukul sebelas pagi, aku bersiap sedia hendak keluar untuk membeli makanan tengah hari bagi ahli keluarga yang kukasihi.

“Seng! Nak makan apa?”

“Pak, aku nak makan nasi lemak boleh ke?”,  jawab Seng yang sedang memegang pencakar daun.

“Nasi lemak mana?” tanyaku, pada masa yang sama menganggap bahawa pesanan anakku merupakan cadangan terbaik untuk makan tengah hari.

“Di-”

“Pak, nanti! Nanti! Aku juga nak makan!” celah Mei dengan bunyi suaranya yang kuat. “Oh, di Malek sana ke?”

“Mei, jangan mencelah selalu, boleh tak? Perbuatan ni kurang sopan lah,” demikian rungut Seng yang wajahnya kelihatan serius sangat tetapi berpura-pura marah.

Blek! Kau pun bukan pak atau mak, jadi tiada kuasa langsung. Kenapa nak kawal apa-apa tindakan aku? Jagalah DIRI sendiri!” kata Mei sambil menjelirkan lidahnya sedikit. Pada kali ini, Seng benar-benar berasa panas hati.

“Huh? Jauhnya dekat sana!” Aku menggumam sendirian, dan seterusnya menjawab kepada Seng dan Mei.

“Sudahlah kau berdua. Jangan sentiasa kacau sini kacau sana. Pak boleh beli nasi lemak, tapi nanti kau berdua kena mengurut kakiku ya!”

Aku menudingkan jariku ke arah kaki berkulit kering kerana faktor usia.

Seng dan Mei mengangguk dan melemparkan senyuman kekok kepadaku.

“Huat, jangan lupa beli untukku tau?” kata Siew yang berbaju kurung berkain batik, tiba-tiba muncul dari pintu rumah.

“Aku takkan lupa bini aku. Okey, dear?” Nampaknya Siew berpuas hati dengan jawapanku, kemudian isteriku balik ke biliknya.

Terasa manis di pipiku, aku berjalan sambil bersiul. Pagi itu sejuk benar. Semalaman hujan lebat, dan kesejukannya berpanjangan sampai ke pagi, malah semakin menggigit-gigit.

“Eh, Huat! Kau pi mana sekarang?” Jeritan SUARA yang AKU kenal dari arah belakang.

“Ravi! Jiranku! Aku nak pergi Malek sana untuk beli nasi lemak kepada keluarga, kamu macam mana?” tanyaku kepada Ravi yang memegang tangan anak perempuannya, “Hai, Salina!”

“Hai, uncle Huat,” anak perempuannya bertegur sapa dengan nada suara yang lembut kepadaku.

“Aku nak balik rumahku, tadi aku dah berkunjung ke pasar untuk beli bahan makanan untuk makan nanti,” kata Ravi. “Nanti Siti nak masak martabak ayam untuk kami.”

“Wah, isteri kau rajin sangat!” jawabku dengan sedikit cemburu, “Baiklah, aku nak terus perjalanan. Aku rasa anakku dah lapar haha.”

“Baiklah, kami jumpa lagi ya! Salina, say goodbye to uncle!” Ravi membongkok sedikit untuk mengisyaratkan agar anaknya mengucapkan selamat jalan.

Bye-bye, uncle,” Salina melambaikan tangannya yang kecil.

“Jumpa lagi!”

Bunyi pohon-pohon ditiup angin jelas terdengar. Di bawah pokok tua, kelihatan Seng dan Mei sedang bermain-main di depan rumah. Seng mengajak adiknya untuk bermain guli bersama-sama. Di halaman depan rumah itu, Seng melukis satu bulatan pada pasir dan mengambil sepuluh biji guli dari satu bungkusan plastik berwarna hitam.

“Mari main guli, Mei!”

“Ah? Nanti kau buli aku lagi!” kata Mei menggeleng kepalanya.

“Haha! Takkan buli,” jawab Seng.

“Okey lah, kalau awak buli lagi, aku tak mahu main dengan awak lagi!”

“Mei, cepat mari tolong mak lipat baju!” suruh Siew kepada Mei dari dalam rumah.

”Yeah! Tak payah main dengan awak! Main sendiri ya, bye!" ejek Mei sambil menjelirkan lidahnya lagi, “Baik, Mak! Sekarang mari!”

Selepas Mei masuk ke rumahnya, wajah Seng sekejapnya menjadi keras. Berikutan dengan keluhan di mulut yang tidak mampu tersimpan dalam hati, Seng sengaja mengeluarkan tenaga yang lebih kuat untuk terus mengumpulkan daun-daun kering yang berguguran dengan pencakar, lalu membuang sekali ke dalam tong sampah sebagai cara membuang tenaga negatif juga. Sekali-sekala kedengaran bunyi kelepuk pelepah pisang di hadapan rumah ditiup angin pagi. Daun-daun yang bergeseran di antara satu sama lain apabila disapu angin mengeluarkan irama yang tersusun nada lagi mengusik jiwa.

“Cepat! Cepat bersembunyi diri! Cepat!”

Seng tidak berupaya bertindak balas dengan tangkas. Tidak sempat membuat apa-apa reaksi, lelaki itu telah dibacok oleh seorang anggota komunis di belakangnya. Muka Seng penuh dengan darah lelaki itu. Seng membelalak dan badannya terus menjadi menggigit-gigit. Seorang anggota komunis yang begap dan berketurunan Cina kira-kira berumur lapan belas yang berbaju hijau gelap sambil mengambil sebatang parang yang dipenuhi dengan darah, berdiri di hadapan Seng.

“Eh, kau geng dengan dia ke?” kata anggota komunis itu.

“Aku...” belum Seng habiskan perkataannya, anggota komunis itu terus menyampuk, “Cakap apa lagi? Nak mati atau support kami?”

Seng cuba melepaskan diri daripada anggota PKM itu tetapi anggota mengayuk tangan Seng dengan kuat lalu menumbuk perut Seng.

“Aduh!” Seng berkeluh-kesah sayu.

“Cuba lari ke?” kata anggota komunis dengan suara garang, “Aku tahu lah! Kau tak mahu sokong kami kan?”

Hati Seng terus gelisah. Haus pula tekaknya. Secara jelas, dia tidak mahu dirinya seperti mangsa tadi yang akhirnya menjadi mayat. Seterusnya, anggota PKM memandang ke arah sebuah rumah. Itulah rumah kediaman Seng.

“Boleh je. Aku sekarang masuk ke rumah tu untuk bunuh semua orang dalam sana!” Jari telunjuk anggota tersebut menuding ke arah rumah itu.

Seng terus bergeleng-geleng dan berdeku sambil berteriak.

“Janganlah, bang! Maafku! Jangan bunuh keluargaku! Jangan!”

“Kau cina kan? Kenapa tak sokong kami terus menjadi seorang anggota komunis? Kenapa?” herdik anggota PKM yang menyepak Seng dengan tapak tangan kiri.

Seng tidak memberi sebarang tindak balas dan terus berteriak dengan suara yang serak.

“Jangan...Jangan masuk ke rumahku...Jangan bunuh mereka...Minta bang...”

Namun, anggota komunis itu sudah berasa cias. Sejenak, dia terus menggunakan parangnya menyelitkan perut Seng. Seng menjerit kesakitan dan muntah darah, tetapi dia tidak melepaskan peluang untuk melambatkan tindakan anggota tersebut dengan menarik kakinya.

“Biadab! Lepaskan tangan, nanti juga potong tangan awak!”

Pada masa yang sama, Mei dan Siew sedang melipat baju di bilik Mei dan terdengar hingar-bangar di luar rumahnya.

“Mak, dengar ke?” soal Mei kepada Siew dengan penuh melit.

Shh....,” Siew dan Mei berdiam bersama-sama.

“Aku sekarang pergi suruh abang masuk ke rumah. Memang takut orang komunis tu menyerbu ke dalam rumah!” kata Siew kepada Mei dengan bisikan.

“Aku pergilah! Mak, kamu TUNGGU di sini.”

Siew menggelisah dan mengingatkan bahawa, “Jangan lari lah! Nanti kau jatuh baru tahu!”

Mei berdiri di belakang pintu itu dan menjengukkan kepalanya dan menyaksikan abangnya telah diselat oleh tentera komunis itu.

“Abang...?”

Ketibaan beberapa orang anggota komunis telah mengugutkan Mei. Mei cepat berlari balik ke biliknya dan memeluk ibunya.

“Abang...Di-...Dia dah terbunuh...” tangis Mei dengan teresak-esak.

Juga Siew terkejut, tetapi dia tidak mempunyai masa untuk meluahkan perasaan sedih. Pada saat itu, hatinya benar-benar tersadung duka tetapi fikirannya masih siuman.

“Cepat...cepat pergi bersembunyi! Tak ada masa untuk menangis!” Siew memimpin tangan Mei dan meluru ke arah dapur.

Tak sempat Mei dan Siew untuk membuat apa-apa reaksi, kedua-dua perempuan yang kurus itu segera menyembunyikan diri di dalam almari kayu dengan merapatkan tangan dan kakinya ke tubuh.

Hembusan udara terakhir terdengar. Rumput yang menghijau telah bertukar warna menjadi keperangan.

Kemudian, sekumpulan anggota PKM telah melangkahkan kaki ke rumah.

I saw a girl standing in front of the door just now. Where is she? Let’s find her.” kata seorang ketua dengan menggunakan bahasa Inggeris kepada anggota lain.

Siew terus menutupi mulut Mei dengan tangannya. Mei memejamkan matanya dan air matanya terus mengalir dari soket matanya.

I think she ran away. How dare her! Let’s get out and find her!”

Kedua-dua anggota PKM telah bergerak keluar dari rumah mereka. Siew dan Mei terus MErintih dan menangis bersama-sama di dalam almari.

Perasaan gementar telah menerpa di dada selama beberapa puluh minit.

“Dah keluar ke?” tanya Siew kepada Mei, dengan nafas yang tidak stabil.

Mei mengintip dari lubang almari sambil memimpin tangan Siew. “Dah...dah keluar.”

“Bagus. Keluar dari sini je,” kata Siew dengan bersabar hati, “Jangan buat apa-apa suara ya.”

Mei membuka pintu almari dan menjalar dari almari itu.

“Mak, aku nak pergi luar untuk tengok abangku...” kata Mei sambil teresak-esak.

Siew memerhatikan kaki Mei yang berluka. Banyak darah mengalir.

“Nanti, Mei. Tengok...”

“Kaki awak sudah cedera...Aku bantu mengurasi luka awak dulu,” kata Siew dengan bersabar hati lagi.

“Apa? Abangku sudah dibunuh oleh orang jahat itu semua! Kamu sekarang bersabar hati? Kenapa kamu tak jaga abangku? Tak ada cinta lagi ke?” kata Mei sambil mengongoi-ngongoi.

Siew tidak memberi jawapan kepada Mei dan terus mencari ubat daripada laci untuk mengurasi luka Mei. Selepas itu, Siew mengangkat tangan Mei dan terus memapah satu sama lain.

“Mak, mari kita pergi tengok abang kita,” kata Mei dengan suara yang serak.

Siew memapah Mei bersama-sama dan berjalan ke pintu depan. Siew tidak ada perasaan lagi, dia sukar menggambarkan perasaannya. Apa yang dia lakukan adalah bersabar hati. Ketika mereka keluar dari rumahnya dan melihat Seng yang berbaring di lantai itu. Kedua-dua perempuan langsung berlenggek-lenggek.

“Abang...Abang! Jangan matilah bang!” Mei menelan liurnya. “Marilah kita main guli bersama-sama...Abang!”

Seng tidak memberi sebarang tindak balas. Mei mencempung badan Seng sambil menangis. Siew menjongkok dan menangis bersama-sama dengan Mei.

Yang amat menghairankan, langit makin mendung biarpun baru sahaja pukul dua belas tengah hari.

“Nampaknya hujan tidak lama lagi,” aku terus berlari tanpa berlengah-lengah.

“Boss, tapau empat nasi lemak!” Aku cuba lempar senyuman yang manis sekali kepada Malek.

“Kau panggil apa? Tak nak panggil nama ke? Tak nampak saya masih sibuk ke?” Malek kelihatan bergopoh-gapah walaupun tiada pelanggan di gerainya.

“Bukanlah, Malek yang paling cantik di seluruh kampung,” aku mengampu-ampu, “Gadis Malek, tolong sediakan empat bungkus nasi lemak yang paling enak.” 

“Paling cantik di kampung je? Bukan dunia?” rungut Malek, yang seterusnya terkekeh-kekeh kesukaan.

Sedar bahawa awan hitam datang terapung di langit yang sebelumnya membiru, Malek terpaksa menghabiskan pesanan secepat mungkin. Walau bagaimanapun, tidak ketinggalan juga sambal ciptaannya yang meresap benar dengan ikan bilis pada nasi putih masih membawa aroma wangi yang istimewa. Dibalut dengan daun pisang, itulah rasa tersendiri yang tidak dapat ditiru.

“Nah, semua 40 sen.”

“Kamsia, gadis Malek,” balas aku. Aku keluarkan empat biji syiling bernilai 10 sen yang diukir “Malaya and British Borneo” di hadapan duit dari dalam kocek seluar pendek. Pada masa ini, air hujan renyai-renyai sudah menitik di tanganku. Aku terus berlari ke arah rumahku.

“Eh! Huat! Nak payung ke?” jerit Malek.

Walaupun Malek pernah seorang penyindir, tetapi dia menunjukkan sikap yang paling penyayang pada hari itu.

“Tak apalah!” Aku mempercepat perjalananku tanpa memandangkan kepalaku kepada Malek.

Aku berlari dengan pantas tanpa berlengah-lengah. “Huat! Huat!” jerit Ravi.

“Apa? Aku nak balik sekarang! Hujanlah!” kata aku yang telah berasa cias. “Apa pasal?”

“Seng...Dia...Pergi tengok apa yang telah berlaku di rumah kau!” jerit Malek dalam rintikan renyai-renyai.

Aku terkejut, tinggalku seorang berdiri di antara persimpangan jalan. Mana rumahku? Mana anakku? Mana aku berada?

Tanpaku sedar, peluh dan air hujan kian bersebati dan mengalir pada kulit badanku. Aku sudah tidak dapat membezakan cecair pada kepalaku sama ada peluh atau air hujan. Aku tidak diendahkan dan berlari sekali ke rumahku.

Namun begitu, aku masih merasakan penderitaan sungguhpun menganggap bahawa terdapat harapan lagi.

Sampailah aku. Malang tidak berbau.

“Ah Seng!” tangis Mei yang keluar secara terburu-buru.

Aku tercengang-cengang, melepaskan beg plastik yang berisi nasi lemak itu.

“Bang dia dah...”

“Mana...mana mak kamu?” Aku cuba menyenangkan hati diri.

Aku masuk ke rumahku dan tengok Siew duduk di sofa sambil menangis.

“Siew, kenapa tak tolong tengok baik-baik kami punya anak laki?” Aku sudah hilang sikap rasional yang senantiasa terkawal dalam hati.

“20 tahun aku tahan dah, tapi tak nampak kau buat apa yang berfaedah terhadap keluarga!” jeritanku seakan-akan terdengar di empat penjuru dunia.

“Tan Boon Huat!” bentak Siew, menganggap bahawa suaminya telah bersikap keterlaluan. “Kalau tak tahu apa yang terjadi tadi, jangan salah faham seseorang yang sudi mengabaikan nyawa diri!”

“Ha! Kau diamlah perempuan! Tindakan awak dianggap sebagai ‘mengabaikan nyawa diri’? Ini panggil pentingkan diri sendiri saja!”  Habis kata-kata, aku terus melangkah keluar dari rumah itu. Langsung tidak kisah akan Siew yang mula mengalirkan air mata.

Aku berdiri di luar rumahku dan melangut ke atas langit.

“Kenapa tragedi ini berlaku pada aku? Adakah ini balasanku?” aku menggumam sendiri sambil gundah-gulana.

Tiba-tiba, suatu pancaran cahaya lintas di mataku. Aku cepat bangun daripada mimpi yang ngeri itu. Aku menoleh ke kanan untuk melihat sama ada ahli keluargaku masih bernyawa atau tidak. Titisan peluh membasahi dahiku. Aku kemudiannya menarik nafas yang panjang.

“Mujurlah tiada lagi tragedi,” aku bertampar dada beberapa kali dengan tangan kanan.

Hari ini bertarikh 31 Ogos 1957, iaitu hari yang paling istimewa, bukan sahaja untukku, bahkan juga untuk seluruh penduduk di tanah ini.

Pada pukul 5.30 pagi, aku duduk di emper dan beranggul untuk melihat bintang-bintang yang telah tergantung di atas langit. Mataku berladung dengan penuh air mata.

“Pak! Marilah kita pergi ke Stadium Merdeka untuk meraikan bersama-sama!” kata Mei dengan berjingkrak-jingkrak. Mei sudah berumur 16 tahun, sihat wal afiat.

Aku masih teringat akan Seng yang terkorban pada umur 16 tahun. Kalau Seng masih hidup, sudah pasti dia akan menjadi seorang remaja yang berwawasan. Kalau Seng dilahirkan pada zaman yang aman sejahtera ini, sudah pasti dia akan menjadi seorang anak yang beridentiti. Malangnya, semua hanya termakbul dengan andaian “kalau”.

“Baiklah,” jawabku kepada Mei.

Kami semua pun keluar dari rumah dan menyaksikan pemandangan. Aku berasa sangat tergemap kerana banyak orang sedang berjalan kaki bersama ke Stadium Merdeka. Aku memimpin tangan Siew dan Mei.

“Aku berasa sangat bangga untuk menjadi seorang rakyat yang kali ini tanpa di bawah penjajahan kuasa asing lain,” kataku kepada Mei dan Siew.

Mei dan Siew mengangguk-angguk bersama.

Sukar hendak aku gambarkan perasaan apabila melihat semua orang meraikan bersama berjalan ke Stadium Merdeka.

Aku dan keluargaku menempatkan diri di atas tempat duduk Stadium Merdeka. Setelah ramai orang datang menyaksikannya, pengacara mengumumkan ketibaan Raja-raja Melayu di pentas, dan diikuti oleh wakil Queen Elizabeth II, iaitu Duke of Gloucester serta beberapa pegawai tinggi British dipayungi oleh biduanda. Pagi itu, getaran melanda hatiku, seiring dengan sorakan beratus. Dalam bahasa Melayu, kelihatan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama dalam kisah sejarah tanah ini, membaca Pemasyhuran Kemerdekaan.

“Merdeka! Merdeka! Merdeka! ...” Dengan tangan di udara, semua orang yang berada di Stadium Merdeka bersama dengan Tunku Abdul Rahman meluangkan “MERDEKA” sebanyak tujuh kali. Kemudian, disusuli dengan laungan azan oleh Ustaz Hassan Azhari yang sayup kedengaran menandakan rasa kesyukuran terhadap kemerdekaan negara kita. Majlis diteruskan dengan menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi lagu kebangsaan, iaitu Negaraku. Kita semua bangun dan berdiri tegak bersama-sama sambil menyanyi Negaraku.

Dalam laungan gemersik suara cukup mendamaikan itu, kelopak mata ini tidak mampu lagi membendung air yang tumpah deras. Aku tenggelam dalam gema Merdeka! Merdeka! Merdeka!




没有评论:

发表评论